Mulai 1 Oktober 2021, Hotel Mei yang terletak di Lorong Abu Siti, George Town bakal beroperasi sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Swasta (PKRCS) bagi pesakit COVID-19 Kategori 1 dan 2 dengan menawarkan penempatan sementara secara percuma kepada penduduk negeri Pulau Pinang dalam kalangan golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40) yang memenuhi kriteria ditetapkan.
Saya menzahirkan penghargaan serta menyambut baik usaha sama Kerajaan Negeri bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO), Crisis Relief Services and Training Berhad (CREST) yang menawarkan pembiayaan kira-kira RM1.7 juta untuk pengoperasian PKRCS di sini bagi tempoh tiga bulan.
Pada 18 September lalu, saya telah mengadakan lawatan berserta sesi taklimat daripada CREST, pihak pengurusan Hotel Mei dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP). Adalah dimaklumkan bahawa semua pendekatan telah diambil bagi memastikan keselamatan komuniti setempat dijaga. Semua pesakit akan dibawa menerusi pintu belakang hotel dan bahagian hadapan (bertentangan dengan jalan besar) merupakan zon hijau yang dikawal rapi. Saya yakin semua pengoperasian akan dipantau dengan rapi bagi kepentingan semua pihak terutamanya komuniti serta penduduk setempat. PKRCS ini adalah penting dan menjadi keperluan kepada mereka terutamanya golongan B40 yang mana kediaman sedia ada adalah tidak sesuai untuk proses kuarantin di rumah.
Malah, JKNPP dalam surat rasmi bertarikh 14 September 2021 juga telah memaklumkan bahawa Hotel Mei memenuhi kriteria dan pengoperasian PKRCS sebagaimana dinyatakan dalam Garis Panduan Annex 32b Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertarikh 24 Februari lepas.
PKRCS Hotel Mei menyediakan 70 bilik untuk pesakit COVID-19 Kategori 1 dan 2 berusia antara dua tahun hingga 60 tahun yang menjalani kuarantin diri. Pada satu-satu masa, segala fasiliti PKRCS di hotel berkaitan mampu menampung kapasiti maksimum pesakit COVID-19 seramai 147 orang. Semua pesakit ke PKRCS berkaitan adalah ditentukan oleh Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) dan tiada polisi walk-in dibenarkan.