Skip to content

Cubaan Annuar Musa untuk mengaitkan saya dengan rusuhan perkauman 13 Mei 1969 mengingatkan saya dengan filem Tanda Putera di mana saya dituduh kononnya telah kencing di kediaman Menteri Besar Selangor dan mencetuskan rusuhan 13 Mei

Cubaan ahli baharu PAS, Annuar Musa, untuk mengaitkan saya dengan rusuhan perkauman 13 Mei 1969 mengingatkan saya dengan filem Tanda Putera di mana saya dituduh kononnya telah kencing di kediaman Menteri Besar Selangor dan mencetuskan rusuhan 13 Mei.

Tidak ada keperluan untuk kenyataan Annuar untuk menggesa saya segera memfailkan saman fitnah terhadapnya kerana Annuar patut tahu yang tidak akan membiarkan dia untuk terus menyebarkan penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian untuk memalukan saya dengan cuba mengatakan yang saya kononnya telah mencetuskan rusuhan perkauman 13 Mei.

Saya juga teringat dengan apa yang dikatakan oleh bekas Ketua Polis Perak, Yuen Yuet Leng mengenai episod “kencing” ini. Yuen bukan sahaja mengesahkan yang insiden “kencing” di tiang bendera kediaman Menteri Besar Selangor ini hanyalah rekaan semata-mata, dia juga tepat dalam mengatakan jika ada sesiapa yang membuat tindakan tidak masuk akal sebegini, dia tidak akan dapat meninggalkan kediaman Menteri Besar Selangor hidup-hidup!

Mengapakah Annuar cuba untuk membangkitkan semula isu rusuhan 13 Mei ini?

Adakah dia berbuat demikian untuk memastikan tidak berlakunya satu lagi rusuhan perkauman seperti 13 Mei atau untuk melawan titah Raja-Raja Pemerintah dan menyalah guna isu-isu 3R untuk terus mencetus ketegangan dalam hubungan antara kaum dan agama?

Dalam ucapan pertama saya di Parlimen 42 tahun lepas pada 23 Februari 1971, saya telah menyeru supaya satu Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan untuk menyiasat puncanya, menilai keadaan polarisasi perkauman dalam negara, dan untuk membuat cadangan bagi mengelakkan berulangnya rusuhan perkauman sebegini.

Adakah Annuar Musa menyokong cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan untuk mengenal pasti punca tercetusnya rusuhan 13 Mei? Adakah dia akan memastikan PAS dan Perikatan Nasional menyokong pembentukan Suruhanjaya Siasatan ini?

Saya ada satu lagi soalan untuk Annuar Musa – Adakah dia menyokong Rukun Negara? Adakah Presiden PAS, Hadi Awang, pernah menyatakan sokongannya terhadap Rukun Negara?