Skip to content

Cuepacs salah kerana menyertai Utusan Malaysia memboikot Air Asia dan Air Asia X

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman sepatutnya berkelakuan sebagai seorang Presiden Cuepacs untuk semua dan tidak mengambil bahagian dalam tindakan perkauman Utusan Malaysia atau UMNO. Jelas sekali bahawa Datuk Omar telah terlupa bahawa ada penjawat awam Melayu yang tidak rasis dan ada juga warga bukan Melayu di dalam perkhidmatan awam.

Datuk Omar telah menyertai Utusan Malaysia dalam menyeru supaya Air Asia dan Air Asia X diboikot, dengan menyatakan bahawa kuasa 1.4 juta penjawat awam boleh memberi kesan terhadap Air Asia, terutamanya di musim cuti sekolah. Cuepacs sangat-sangat salah apabila ia menyertai usaha boikot Utusan Malaysia terhadap Air Asia dan Air Asia X kerana Cuepacs tidak sepatutnya menjadi pertubuhan yang bersifat perkauman tetapi berkhidmat kepada semua penjawat awam di Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Kenyataan bongkak Datuk Omar untuk menggunakan kuasa Cuepacs hanyalah lagak yang kosong kerana beliau tidak pun mampu memastikan undi 1.4 juta penjawat awam kepada BN dalam pilihan raya umum yang lalu, menyebabkan BN menjadi parti minoriti yang meraih hanya 47% undi popular, tewas kepada 51% undi popular Pakatan Rakyat. Utusan telah menjadikan kedua-dua syarikat tersebut sasaran, selepas Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia X mengutuk Utusan Malaysia kerana tajuk berita yang menimbulkan provokasi perkauman yang menyasarkan masyarakat Cina berikutan kekalahan BN dalam PRU ke 13 5 Mei lalu.

Tindakan tidak bertanggungjawab oleh pertubuhan perkauman ini telah menjadikan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke arah rekonsiliasi nasional dan 1Malaysia sekadar satu janji kosong. Tindakan perkauman oleh Utusan Malaysia mengikut jejak kempen penyokong BN untuk memboikot produk pengguna perniagaan masyarakat Cina bagi menghukum komuniti tersebut kerana menyokong Pakatan Rakyat.

Kempen perkauman sedemikian untuk menyalahkan masyarakat Cina dan menjadikan mereka kambing hitam bertujuan menyembunyikan hakikat bahawa BN kehilangan sokongan orang Melayu yang menyebabkan Pakatan Rakyat menang undi popular sebanyak 51%. Di Semenanjung Malaysia, di mana terdapat lebih ramai pengundi Melayu, undi popular Pakatan Rakyat lebih tinggi, sebanyak 53%.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mendesak Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang baru Datuk Hasan Malek untuk tidak mempertahankan kempen boikot berasaskan kaum dan bertindak terhadap organisasi perkauman ini. Dewan Perniagaan Melayu dan Cina telah menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan perlu masuk campur dengan segera untuk memberhentikan kempen yang disifatkan keduanya sebagai “tidak sihat, kebudak-budakan dan perkauman” sebelum ia memberikan impak buruk kepada pertumbuhan ekonomi.

Pertubuhan perkauman ini telah cukup membuat kerosakan bukan sahaja kepada perpaduan nasional tetapi juga imej negara. Dengan membenarkan boikot produk berasaskan perkauman ini berterusan, Malaysia akan dilihat sebagai tidak jauh beza berbanding rejim perkauman seperti rejim apartheid Afrika Selatan, malah turut membawa kesan negatif kepada ekonomi.