CUEPACS silap faham tentang isu kod pakaian yang dikenakan oleh ketua-ketua jabatan yang dibangkitkan oleh saya dan tidak mengetahui masalah yang timbul.
Tidak pernah dalam kenyataan media saya saya menyokong orang ramai supaya tidak berpakaian sopan apabila pergi ke jabatan kerajaan. Secara umumnya, kita semua berpakaian sopan dan ada di antara kita pula berpakaian sangat segak apabila bertemu pegawai-pegawai kerajaan.
Isu yang saya utarakan ialah penafian perkhidmatan kepada orang ramai yang dikatakan tidak mematuhi kod pakaian yang ditetapkan oleh jabatan Kerajaan.
Saya telah menerima satu aduan daripada seorang peguam wanita yang pakaiannya boleh diterima di mahkamah tetapi dinafikan hak untuk masuk ke jabatan pendidikan atas alasan skirt yang di pakainya hanya sampai ke paras lutut tidak boleh diterima.
Seorang pemberita wanita sebuah televisyen tempatan telah mengadu kepada saya bahawa beliau tidak dibenarkan masuk ke jabatan pengangkutan jalan untuk memperbaharui cukai jalannya kerana beliau memakai kemeja-T dan skirt paras lutut.
Seorang lelaki tua terpaksa pulang ke rumah sejauh 15km untuk menukar seluar pendeknya kepada seluar panjang sebelum dia dibenarkan masuk ke pejabat kerajaan tempatan untuk membuat bayaran.
Kes-kes di atas telah dibawa kepada perhatian saya dan saya percaya terdapat banyak lagi kes-kes sebegini di seluruh negara.
Presiden CUEPACS, Dato’ Haji Adman Mat jelas tidak memahami masalah yang timbul apabila beliau berkata penjawat awam akan menggunakan budi bicara mereka untuk menilai keadaan sebelum menafikan perkhidmatan kepada mana-mana orang yang tidak mematuhi kod pakaian. Dalam semua kes-kes di atas yang saya sebutkan, mereka diberhentikan dipondok pengawal dan tidak dibenarkan masuk ke pejabat kerajaan ! Bagaimana penjawat awam itu boleh membuat penilaian?
Lebih penting lagi, sebagai penjawat awam, pegawai-pegawai kerajaan haruslah menjadi teladan dalam mematuhi dan menghormati undang-undang. Seperti yang dijelaskan dalam kenyataan media saya sebelum ini, menteri kabinet dan penjawat awam memperoleh kuasa mereka daripada undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen. Undang-undang kecil dan peraturan- peraturan yang dibuat oleh Menteri adalah tidak sah dan terbatal sekiranya mereka dibuat di luar skop kuasa (ultra vires) yang diberikan oleh Akta Parlimen.
Tiada undang-undang yang memberi kuasa kepada pegawai kerajaan untuk menetapkan syarat bahawa seseorang itu perlu mematuhi kod pakaian sebelum perkhidmatan boleh diberikan kepada mereka.
A fortiori (lebih-lebih lagi) kod pakaian yang dibuat oleh pegawai kerajaan yang memerlukan orang ramai mematuhi pakaian tertentu sebelum perkhidmatan boleh diberikan kepada mereka adalah menyalahi undang-undang dan tidak sah. Penjawat awam tidak boleh dibenarkan melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.
Kod pakaian boleh diberikan sebagai satu nasihat tetapi tidak sebagai satu peraturan.