Pengenaan 8.0% cukai eksport ke atas minyak sawit mentah (CPO) dari 1/1/2021 sebagai tindak balas kepada kenaikan harga CPO baru-baru ini menunjukkan bahawa Kerajaan PN tidak memahami industri kelapa sawit atau tidak peduli tentang kesejahteraan mereka dalam industri ini. Pekebun kecil dan mereka yang berada dalam industri kelapa sawit tidak banyak mendapat keuntungan pada bulan Januari 2021 dan 2 bulan akan datang kerana kita dalam tempoh pengeluaran rendah kelapa sawit Tandan Buah Segar (TBS) walaupun harganya tinggi.
Pengeluaran pada bulan Januari setiap tahun adalah kurang daripada separuh pengeluaran pada waktu puncak pada bulan Julai, Ogos dan September (sedikit berbeza dari satu tempat ke tempat yang lain) setiap tahun. Dengan pengeluaran serendah 0.3 satu MT seekar, ramai pekebun kecil tidak memperoleh banyak keuntungan walaupun harga CPO adalah sekitar RM3,800 satu MT.
Minyak sawit adalah produk pertanian yang paling banyak dikenakan cukai di negara ini. Kerajaan mengenakan ses MPOB, levi Keuntungan Luar Biasa, duti eksport dan cukai jualan (di Sabah dan Sarawak) selain daripada cukai pendapatan korporat atau individu. Kos pengeluaran satu (1) MT CPO adalah sekitar RM2,000 (bergantung kepada kecekapan dan produktiviti setiap pekebun kecil atau Estet). Kos pengeluaran meningkat dengan ketara jika kita menambah pelbagai ses, levi dan cukai ke atas CPO.
Contoh jumlah kos pengeluaran 1 MT CPO di Sabah.
| (i) | Kos untuk menghasilkan 1 MT CPO melalui pengeluaran TBS | RM2,000.00 |
| (ii) | Ses MPOB | RM 14.00 |
| (iii) | Levi Keuntungan Luar Biasa pada kadar 1.5% Harga CPO | RM 57.00 |
| (iv) | Cukai Jualan pada 7% Harga CPO | RM 266.00 |
| (v) | Cukai Eksport pada kadar 8% Harga CPO | RM 304.00 |
| RM2,641.00 |
Dengan harga RM3,800 satu MT (dianggap harga tertinggi dalam satu dekad), syarikat / pekebun kecil memperolehi pendapatan bersih hanya sebanyak RM1,159.00. Kerajaan akan mengenakan cukai korporat sebanyak 24% ke atas jumlah RM1,159.00 ini bersamaan dengan RM238.16 menjadikan keuntungan bersih sebanyak RM920.84 yang merupakan pendapatan daripada sekitar 3 ekar tanah pada masa ini atau 1.5 ekar pada waktu puncak pengeluaran. Walaupun dengan harga CPO yang tinggi, pendapatan tempoh ini tidak besar. Cukai langsung (ii), (iii), (iv) dan (v) di atas berjumlah RM641.00 satu MT jika diterjemahkan kepada cukai korporat sebanyakadalah 35.61% (641/1,800 X 100%).
Oleh itu, mengenakan cukai ke atas sesebuah syarikat setara dengan 59.61% cukai korporat adalah tidak adil, memudaratkan industri sawit dan mendorong syarikat tempatan untuk berhijrah ke negara lain.
Harga CPO dijangka tidak akan kekal pada RM3,800 satu MT. Diramalkan bahawa harga CPO secara purata untuk tahun 2021 hanya RM2,400 satu MT. Jika ini berlaku dan pelbagai cukai di atas terus dikenakan, kemungkinan besar tidak akan ada keuntungan untuk mereka yang terlibat dalam industri ini. Sekiranya kerajaan terus mengenakan pelbagai cukai ke atas industri sawit, ia akan menghancurkan industri sawit dan menjejaskan kehidupan berjuta-juta orang yang bergantung kepada industri ini untuk nafkah hidup.
Saya sekali lagi meminta kerajaan supaya hanya mengenakan cukai pendapatan individu atau cukai korporat (seperti yang dikenakan ke atas perniagaan lain) ke atas mereka yang berada dalam industri sawit dan menghapuskan semua bentuk cukai yang dikenakan secara eksklusif ke atas industri sawit.