Menurut Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Datuk Abd Aziz Abu Bakar, kenaikan harga barangan akan berlaku apabila terjadinya cukai berganda di mana margin keuntungan yang akan dikenakan kepada saluran perniagaan seperti pemborong dan peruncit adalah pada nilai harga selepas dikenakan cukai jualan 10 peratus.
“Katakanlah harga sesuatu barang itu RM10. Pengilang akan jual kepada pihak pemborong dengan nilai RM11 disebabkan cukai 10 peratus yang terpaksa ditanggung pengilang. Kemudian pemborong itu pula yang akan meningkatkan harga jualan kepada peruncit (bermula RM11) sehinggalah pengguna yang akhirnya terbeban.
Itulah situasi cukai berganda yang dimaksudkan dan sekali gus harga barang memang akan meningkat naik. Itulah kelemahan SST,” katanya ketika dihubungi Utusan Online minggu lalu.
Huraian Datuk Abdul Aziz mengenai impak SST ke atas harga barang-barang dan perkhidmatan adalah salah.
Kesan GST kepada kadar inflasi lebih besar
Pertama sekali, sejarah perlaksanaan GST di Malaysia telah membuktikan bahawa cukai GST telah menyebabkan kadar inflasi negara meningkat secara mendadak. Kadar inflasi meningkat sehingga 3.1% apabila GST dilaksanakan pada tahun 2014, berbanding dengan 1.7% dan 2.1% pada tahun 2012 dan 2013. Pada bulan Jun 2018, kadar inflasi telah turun kepada 0.8% berbanding dengan 1.8% pada bulan Mei 2018. Ia merupakan kadar inflasi yang paling rendah sejak bulan Februari 2015 dan penurunan kadar inflasi ini jelas disebabkan oleh pemansuhan GST.
Cukai SST adalah cukai seperingkat, bukan berperingkat
Dalam contoh yang diberikan oleh Datuk Abd Aziz di atas, jumlah kutipan cukai oleh kerajaan adalah hanya RM1 daripada harga jualan produk sebanyak RM10 daripada pengilang kepada pihak pemborong.
Akan tetapi kerajaan tidak lagi selanjutnya mengutip sebarang cukai daripada pihak pemborong, pengedar atau peruncit. Maksudnya, harga jualan antara pemborong, pengedar dan peruncit dan keuntungan yang dapat diperolehi di setiap peringkat jualan adalah tertakluk kepada kuasa pasaran.
Contoh Kutipan Cukai Berperingkat GST
Ini berbanding dengan cukai pelbagai peringkat (multi-stage tax) seperti GST, di mana cukai dikutip di setiap peringkat jualan. Senario di bawah dapat menunjukkan juga macamana kadar 6% GST dapat mengutip lebih cukai daripada kadar 10% SST.
Mengikut contoh yang sama, pihak pengilang akan mengutip 6% GST daripada RM10 atau RM0.60 daripada pihak pemborong.
Pihak pemborong akan menjual barang tersebut dengan harga RM13 dan mengutip cukai GST sebanyak RM0.78 daripada pihak pengedar. Pada masa yang sama, pemborong akan menolak RM0.60 daripada nilai GST yang dikutip sebagai “refund” untuk GST yang telah dibayar sebelum itu kepada pengilang.
Pihak pengedar akan menjual barang tersebut dengan harga RM16 dan mengutip cukai GST sebanyak RM0.96 daripada pihak peruncit. Pada masa yang sama, pengedar akan menolak RM0.78 daripada nilai GST yang dikutip sebagai “refund” untuk GST yang telah dibayar sebelum itu kepada pemborong.
Pihak peruncit akan menjual barang tersebut dengan harga RM20 dan mengutip cukai GST sebanyak RM1.20 daripada pihak pengguna. Pada masa yang sama, peruncit akan menolak RM0.96 daripada nilai GST yang dikutip sebagai “refund” untuk GST yang telah dibayar sebelum itu kepada pengedar.
Secara kesimpulan, jumlah GST yang telah dikutip oleh kerajaan adalah RM0.60 + RM0.18 + RM0.18 + RM0.24 ataupun sejumlah RM1.20 daripada pihak pengilang, pemborong, pengedar dan peruncit. Contoh ini dirumuskan dalam Jadual 1 di bawah:
Jadual 1: Contoh kutipan cukai berperingkat GST
| Harga Jualan | Bayaran GST 6% (A) | ‘Refund’ GST (B) | Kutipan Kerajaan (A)-(B) | |
| Pengilang | RM10.00 | RM0.60 | — | RM0.60 |
| Pemborong | RM13.00 | RM0.78 | RM0.60 | RM0.18 |
| Pengedar | RM16.00 | RM0.96 | RM0.78 | RM0.18 |
| Peruncit | RM20.00 | RM1.20 | RM0.96 | RM0.24 |
| Jumlah | RM3.54 | RM2.34 | RM1.20 |
Menurut contoh ini, jumlah cukai yang dikutip daripada cukai berperingkat GST 6% sebanyak RM1.20 adalah lebih besar daripada nilai RM1.00 yang dikutip daripada cukai seperingkat SST 10% sebanyak RM1.00.
Contoh di atas juga menunjukkan bahawa GST merupakan satu sistem cukai yang lebih rumit, susah difahami dan lebih membebankan semua pihak dari segi perlaksanaan dan pengurusan, berbanding dengan cukai seperingkat SST.
Anggaran kutipan cukai SST jauh lebih rendah daripada GST
Sebelum kadar GST disifarkan pada 1 June 2018, anggaran kutipan GST bagi tahun 2018 adalah RM44 bilion berdasarkan sasaran kerajaan terdahulu. Akan tetapi, cukai SST dianggarkan hanya akan mengutip cukai sekitar RM21 bilion setahun.
Oleh itu, jika dibandingkan dengan hasil kutipan GST, Kerajaan Pakatan Harapan akan dapat ‘memulangkan semula’ RM23 bilion kepada rakyat. Datuk Abd Aziz Abu Bakar, sebagai Presiden Akauntan Percukaian Malaysia, tidak seharusnya mengelirukan rakyat dengan kenyataan bahawa kos sara hidup akan lebih membebankan sekiranya SST dikembalikan.