Skip to content

Cuti persekolahan, amalkan langkah-langkah perlu bagi membendung wabak COVID-19

Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyambut baik saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam yang menggesa agar semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai (mass gathering) ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan COVID-19.

Malah, bersempena dengan cuti persekolahan yang bermula esok, rakyat Pulau Pinang adalah dinasihatkan supaya mengamalkan beberapa langkah berikut yang perlu diberi perhatian:

  • Menangguhkan sementara perjalanan ke bandar atau wilayah atau negara yang disenaraikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
  • Bagi rakyat Malaysia yang berada di bandar atau wilayah atau negara tersebut, mereka dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga, meningkatkan penjagaan kesihatan diri dan sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
  • Bagi mereka yang mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan atau yang mengalami masalah kesihatan adalah dinasihatkan supaya tidak melawat ke tempat tumpuan ramai.
  • Sila rancang aktiviti cuti sekolah anak-anak.
  • Sebagai alternatif, anda boleh memilih atau mengenal pasti lokasi percutian tempatan atau dalam negara untuk bercuti (staycation).

Dalam pada itu, rakyat Pulau Pinang juga dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan – Jarak Sosial JIKA BERGEJALA sebagaimana berikut:

  • Elakkan bersalaman atau bersentuhan dengan orang lain. Letakkan tangan di dada sebagai tanda hormat dengan ucapan salam bagi menggantikan bersalaman atau bersentuhan.
  • Jarakkan diri sekurang-kurangnya 1 meter daripada orang lain.
  • Duduk di rumah, elakkan tempat tumpuan orang ramai.
  • Pakai penutup mulut dan hidung apabila anda perlu keluar rumah.
  • Elakkan penggunaan pengangkutan awam.

Umumnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil maklum serta memandang serius mengenai situasi semasa COVID-19 di Pulau Pinang. Berdasarkan pelaporan semasa penularan COVID-19 di Malaysia yang telah memasuki gelombang kedua, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus menjadi rakan serta komited untuk menjalin kerjasama rapat dengan JKNPP, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dalam memastikan keselamatan serta kesihatan rakyat seluruh negeri ini terus terjamin.

Justeru, bagi mendapatkan maklumat sahih dan sebarang pertanyaan berhubung COVID-19, orang ramai boleh menghubungi Crisis Preparedness & Response Centre (CPRC), JKN Pulau Pinang melalui alamat e-mel: [email protected] atau talian telefon 04 – 262 9902.

Marilah kita terus bersama-sama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan JKNPP dalam mencegah serta menangani wabak COVID-19 ini secara menyeluruh demi kepentingan lapisan masyarakat.