Saya cukup gembira membaca berita Adun PKR Saudari Rodziah Ismail dan dua Adun PAS Saudara Hasnul Baharuddin dan Saudara Saari Sungib yang telah menyatakan sokongan untuk presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor.
Bagi saya semangat setiakawan Pakatan Rakyat mesti dijaga di saat-saat genting sebegini. Kita tidak mahu tersudut di nota kaki sejarah sebagai sebuah koalisi politik yang gagal dan berpecah belah setelah bertahun-tahun membina impian dan memberi harapan baru kepada rakyat Malaysia.
Sejarah kerjasama parti-parti komponen Pakatan Rakyat mencatat begitu banyak kenangan yang baik-baik; terutamanya kemenangan besar dalam tsunami politik Mac 2008 serta kejayaan mendapatkan sokongan padu majoriti undi popular dalam PRU ke-13 tahun lalu. Kita mahu diingati sejarah untuk peristiwa sedemikian. Kita pastinya tidak mahu diingati sejarah kerana bergolak dan berpecah belah akibat kemelut Menteri Besar Selangor.
Kerjasama erat PAS, DAP dan PKR serta persaudaraan yang dibina di kalangan kita seharusnya dipertimbangkan di saat-saat genting ramai pihak cuba melaga-laga dan menimbulkan keretakan dalam ‘rumah tangga’ Pakatan Rakyat. Kesepakatan ketiga-tiga parti ini yang telah memberi harapan kepada rakyat Malaysia untuk perubahan, perpaduan dan kemakmuran sememangnya dicemburui.
Ramai pihak akan sentiasa mencuba untuk mencerai-beraikan hubungan erat yang telah dibina. Perjuangan ke arah Malaysia yang lebih baik, serta usaha membela nasib rakyat yang tertindas oleh rejim Umno-BN adalah faktor yang mengikat kita bersama. Semangat ini tidak boleh kita korbankan dan sia-siakan.
Ada di antara kita pihak-pihak yang tidak selesa dengan persaudaraan Pakatan Rakyat, namun malu-malu mahu mengaku teringin tidur sebantal dengan Umno dan BN. Kenapa perlu malu-malu? Di saat perpaduan Pakatan sangat diperlukan, telah ramai dari kalangan rakan-rakan PAS dan PKR yang ke hadapan untuk mengisytiharkan sokongan kepada semangat Pakatan Rakyat.
Kalau tidak lagi selesa bersama semangat Pakatan demi kepentingan rakyat tanpa mengira kaum, agama, dan status ekonomi; kenapa mesti malu-malu mahu menyatakan keinginan untuk bersama Umno-BN?
Saya menyeru sahabat-sahabat yang setia memperjuangkan kepentingan rakyat untuk menzahirkan kesetiaan kepada semangat Pakatan Rakyat. Dan jika sebaliknya berhajat untuk tidur sebantal dengan Umno, janganlah segan silu untuk mengaku.
Janganlah sampai koalisi politik ini hancur akibat perbuatan seorang manusia. Dahulukanlah kepentingan rakyat, janganlah sampai Pakatan Rakyat berpecah.