Skip to content

Dakwaan berlakunya penerokaan secara haram di dalam hutan simpanan kekal dan tanah kerajaan berhutan serta kawasan semulajadi mengakibatkan pengurangan kawasan berhutan dan berlaku kejadian banjir di negeri Pulau Pinang oleh akhbar The Star dan Berita Harian

1.0 ISU YANG DIBANGKITKAN

1.1 THE STAR BERTARIKH 28 OKTOBER 2016 : CAMERONS DISASTER A LESSON TO ALL, SAYS COUNCILLOR

1.1.1 Akhbar ini memetik laporan Dr. Lim Mah Hui iaitu kawasan berhutan di Negeri Pulau Pinang hanya tinggal 7.4 peratus serta menyatakan bahawa daripada keluasan kawasan ini hanya 6.0 peratus adalah hutan simpanan kekal dan 1.4 peratus adalah kawasan hutan semulajadi. Laporan ini diperolehi daripada statistik Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang.

1.1.2 Hutan di tanah tinggi Pulau Pinang merupakan satu kawasan tadahan air di samping berfungsi menahan hakisan tanah dan tanah runtuh selain sebagai ‘gene banks’ untuk spesies tumbuhan dan haiwan.

1.1.3 Beberapa insiden di tanah tinggi negeri lain adalah akibat pembangunan yang berlebihan dan pembersihan bukit perlu dijadikan pengajaran.

1.1.4 Laporan ini mendakwa berlaku penerokaan di tanah tinggi di Negeri Pulau Pinang.

1.2 BERITA HARIAN BERTARIKH 01 NOVEMBER 2016 : HUTAN DI PULAU PINANG DIDAKWA SEMAKIN KURANG

1.2.1 Laporan ini memetik dakwaan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Penang Forum (PF) yang mendedahkan keluasan kawasan hutan di Negeri Pulau Pinang semakin berkurangan iaitu 7.4 peratus daripada keluasan Pulau Pinang.

1.2.2 Ahli PF, Datuk Dr. Shahrom Ahmat mendakwa keadaan ini berpunca daripada aktiviti pembangunan tidak terancang dan penarahan bukit secara berleluasa yang dikatakan gagal diselia oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang. PF juga mendapati hanya 6.0 peratus daripada keseluruhan kawasan hutan di negeri ini dikategorikan sebagai hutan masih terlindung.

1.3 BERITA HARIAN BERTARIKH 03 NOVEMBER 2016 : HUTAN DITARAH ANTARA PUNCA BANJIR

1.3.1 Kegiatan penerokaan kawasan hutan semula jadi di Pulau Pinang yang tidak dikawal kerajaan negeri didakwa antara punca banjir kilat semakin kerap berlaku di negeri ini.

1.3.2 Kerajaan Negeri gagal mengawal aktiviti penarahan bukit sehingga keluasan hutan semulajadi semakin berkurangan.

1.3.3 Sudah tiba masanya Kerajaan Negeri menguatkuasakan aktiviti penarahan bukit dengan lebih tegas termasuk menggunakan undang- undang sedia ada.

Penang Forum mendakwa kawasan hutan semula jadi Pulau Pinang berkurangan sebanyak 7.4 peratus, dipercayai berpunca daripada aktiviti pembangunan tidak dirancang serta penarahan bukit yang tidak terkawal.

1.4 THE STAR BERTARIKH 03 NOVEMBER 2016 : GETTING MORE EYES ON THE HILLS – PENANG FORUM LOUNCHES ONLINE PLATFORM TO REPORT ON ILLEGAL FOREST CLEARING

1.4.1 Hanya 7.4 peratus daripada keluasan Negeri Pulau Pinang adalah hutan yang mana 6.0 peratus adalah hutan simpanan kekal dan 1.4 peratus kawasan hutan yang belum diwarta sebagai hutan simpanan kekal.

1.4.2 Dalam siri laporan The Star bermula April 2016 yang lalu mendedahkan penerokaan lereng bukit dan penebangan hutan disebabkan oleh aktiviti pembersihan kawasan lereng bukit untuk tujuan pertanian.

1.4.3 The Star juga turut mendakwa telah mengesan penerokaan lereng bukit secara besar- besaran di Bukit Bendera, Paya Terubong, Bukit Kukus dan Teluk Bahang.

2.0 ULASAN KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

2.1 Latar belakang

2.1.1 Status kawasan hutan di Negeri Pulau Pinang terbahagi kepada tiga (3) kategori iaitu kawasan hutan di dalam hutan simpanan kekal, kawasan hutan di dalam tanah kerajaan dan kawasan hutan di dalam tanah milik. Perlembagaan Malaysia Perkara 74 (2), hutan adalah di bawah kuasa Kerajaan Negeri termasuk hutan simpanan kekal. Manakala Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) dan Kaedah-kaedah Hutan Pulau Pinang 1997, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri diperuntukkan kuasa untuk mengurus sepenuhnya sumber hutan di dalam kawasan hutan simpanan kekal sahaja manakala penguatkuasaan hasil hutan pula adalah bagi ketiga-tiga kawasan berhutan iaitu hutan simpanan kekal, tanah kerajaan dan tanah milik.

2.1.2 Sehingga kini Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang mengurus dan mentadbir seluas 5,100.93 hektar kawasan hutan simpanan kekal yang telah diwartakan.

Bagi memastikan pengurusan terbaik ke atas sumber hutan yang sangat berharga serta memelihara kepelbagaian fungsinya, sumber hutan di negeri ini diurus selaras dengan misi Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang iaitu untuk mengurus dan membangunkan sumber hutan secara berkekalan serta mengoptimumkan sumbangannya kepada pembangunan sosioekonomi negara melalui prinsip-prinsip pengurusan hutan secara berkekalan.

2.2 Maklum balas Kerajaan Negeri Pulau Pinang Terhadap Isu Ini

2.2.1 Maklum balas Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap laporan Berita Harian adalah seperti berikut:-

Kawasan hutan simpanan kekal tidak pernah berlaku sebarang penerokaan atau pengeluaran lesen pembalakan dan masih kekal terpelihara hingga kini.

Tiada berlaku sebarang aktiviti penarahan bukit atau kerja-kerja tanah di dalam hutan simpanan kekal.

Sebarang pencerobohan atau permohonan aktiviti dalam hutan simpanan kekal adalah tertakluk di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993).

Dakwaan Penang Forum (PF) bahawa kawasan hutan semulajadi di Pulau Pinang berkurangan sebanyak 7.4 peratus dipercayai berpunca daripada aktiviti pembangunan tidak dirancang serta penarahan bukit yang tidak terkawal adalah tidak berasas sama sekali. Sejak tahun 2008 hingga kini statistik Jabatan Perhutanan Negeri menunjukkan bahawa tiada berlaku penurunan keluasan hutan simpan kekal atau sebarang penukaran guna tanah dalam hutan simpanan kekal.

2.2.2 Maklum balas Jabatan ini terhadap laporan The Star adalah seperti berikut:-

i. Tiada berlaku sebarang aktiviti penerokaan lereng bukit atau kerja-kerja tanah di dalam hutan simpanan kekal.

Sebarang pencerobohan atau permohonan aktiviti dalam hutan simpanan kekal adalah tertakluk di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993).

3.0 KESIMPULAN

3.1 Laporan oleh akhbar Berita Harian berkaitan pengurangan kawasan hutan dan aktiviti penerokaan hutan di Negeri Pulau Pinang antara punca banjir kilat adalah tidak tepat. Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa menyokong usaha bagi memelihara dan memulihara kawasan sensitif di tanah tinggi dan hutan paya laut agar kawasan tersebut sentiasa terjamin sumbangannya dari aspek alam sekitar dan sosioekonomi kepada masyarakat.

3.2 Laporan oleh akhbar The Star mengenai terdapat aktviti penarahan bukit adalah mengelirukan rakyat memandangkan hutan simpanan kekal di negeri ini adalah tidak pernah diganggu atau dibangunkan. Jabatan ini sentiasa telus dalam menyalurkan sebarang maklumat perhutanan kepada masyarakat melalui pelaporan di media elektronik seperti Portal Rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Portal Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang dan Laporan Tahunan Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang.