Kami merujuk kepada laporan berita berkenaan dakwaan campur tangan ke atas badan kehakiman negara membabitkan dua orang peguam dan laporan polis yang telah dibuat oleh mereka yang terlibat. Badan kehakiman yang bebas adalah asas kepada sistem demokrasi dan masyarakat kita. Sebuah badan kehakiman yang bebas terletak di antara rakyat dan pihak Eksekutif untuk menjadi benteng bagi melawan penyalahgunaan kuasa Eksekutif. Profesion undang-undang juga merupakan bidang pekerjaan yang mulia dan berwibawa.
Sebelum ini mantan Ketua Polis Negara (KPN) juga pernah mendakwa terdapat campur tangan oleh pihak Eksekutif semasa beliau menjalankan tugasnya. Perkara ini diumumkan secara terbuka sebelum hari persaraannya. Dakwaan yang melibatkan soal kebebasan badan kehakiman, profesion undang-undang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak boleh dipandang ringan. Kami menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera menyiasat laporan polis yang telah dibuat. Siasatan yang terperinci mesti dilakukan dengan segera dan hasil siasatan perlu dibentangkan untuk pengetahuan semua. Rakyat berhak mengetahui kebenaran ini dan kedudukan tiga institusi penting negara mesti dipelihara dan dilindungi.