Skip to content

Dakwaan terhadap Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman hanya bermotifkan politik bertujuan untuk memberi tekanan kepadanya beberapa hari sebelum Parlimen bersidang

Semalam Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman yang juga mantan Menteri Belia dan Sukan semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan telah dituduh di Mahkamah Sekyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan pecah amanah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kedua-dua dakwaan tersebut membabitkan dana sayap pemuda parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) – Armada – dan wang sumbangan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Beliau mengaku tidak bersalah dan kemudiannya diikat jamin sebanyak RM330,000.

Kami percaya bahawa dakwaan ini hanya bermotifkan politik bertujuan untuk memberi tekanan kepada Presiden penaja parti MUDA ini beberapa hari sebelum Parlimen bersidang. Sesuatu yang agak mencurigakan apabila kedua-dua pertuduhan tersebut baharu sahaja dibuat semalam sedangkan kejadian pecah amanah tersebut di dakwa berlaku tahun lepas dan juga sebelum PRU14 iaitu sekitar April 2018 dan Saddiq hanya didakwa tujuh bulan selepas kelulusan diberi untuk pendakwaan.

Kami menggesa SPRM supaya mendedahkan hasil siasatan yang dilakukan ke atas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun mengenai keupayaannya membayar hutang dalam tempoh yang singkat dan tidak setara dengan jumlah pengisytiharan harta yang dinyatakan sebelum ini. SPRM juga perlu mendedahkan bagaimana Rina Harun berjaya mengumpul kekayaan dan mempunyai sumber untuk melunaskan hutangnya dalam tempoh yang singkat berbanding aset yang beliau miliki seperti yang dinyatakannya dalam pengisytiharan aset SPRM yang diterbitkan tahun lalu. Tindakan melambatkan siasatan ke atas Menteri PN ini hanya menimbulkan persepsi negatif daripada orang awam terhadap integriti SPRM sebagai sebuah badan yang bebas, adil dan mempunyai martabat yang tinggi untuk membenteras amalan rasuah dalam negara. Malang untuk sebuah Kerajaan yang terbentuk daripada pengkhianatan mandat rakyat ini sehingga terpaksa menggunakan institusi seperti SPRM untuk menekan ahli parlimen yang tidak bersama mereka dan kekal berkuasa.