Skip to content

DAKWAAN TIDAK BETUL, TIDAK BERASAS DAN MENGELIRUKAN, SERTA MEMBAWA NIAT UNTUK MENIMBULKAN KETIDAKPUASAN TERHADAP KETUA MENTERI

Saya berasa terperanjat dengan kenyataan Ahli Parlimen Bagan, YB Lim Guan Eng dan laporan media berhubung isu ‘pelantikan’ Saudara Ng Yee Siang sebagai Ahli Majlis Bagi Tahun 2026.

Dengan ini, saya terpanggil untuk memberikan penjelasan berasaskan fakta yang tepat dan sahih.

Pihak Berkuasa Negeri diberi kuasa di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk membuat pelantikan Ahli Majlis. Berlandaskan peruntukan undang-undang berkaitan, Kerajaan Negeri telah menerima pencalonan daripada pelbagai pihak bagi pelantikan Ahli Majlis untuk kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tahun 2026.

Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Pulau Pinang telah mengemukakan senarai pencalonan menerusi surat bertarikh 15 Disember 2025 yang ditandatangani oleh Setiausaha DAP Negeri, YB Lim Hui Ying. Senarai berkaitan mencalonkan 10 individu untuk pertimbangan Kerajaan Negeri bagi pelantikan sebagai Ahli Majlis Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Hasil semakan oleh Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab terhadap proses pelantikan Ahli Majlis PBT, adalah disahkan bahawa DAP Pulau Pinang tidak mencalonkan nama Saudara Ng Yee Siang sebagai Ahli Majlis bagi mana-mana PBT Negeri.

Sebagai makluman, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang pada 17 Disember 2025 telah bersetuju memperakukan pelantikan sebagaimana dikemukakan dalam Kertas pertimbangan yang disediakan oleh Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Adalah jelas bahawa senarai calon yang dipertimbang dan dipersetujui untuk pelantikan tidak termasuk nama Saudara Ng Yee Siang, memandangkan beliau tidak dicalonkan oleh pihak parti DAP Pulau Pinang.

Dokumen dan Kertas pertimbangan yang berkaitan merupakan fakta dan rekod rasmi yang mengesahkan perkara ini, yang mana ternyata dakwaan YB Lim Guan Eng bahawa nama Saudara Ng Yee Siang dicantas oleh Ketua Menteri Pulau Pinang adalah tidak tepat, tidak berasas dan mengelirukan, serta berpotensi menimbulkan persepsi negatif dan ketidakpuasan terhadap Ketua Menteri.