Skip to content

Dalam 20 tahun pertama kehidupan politik saya, saya telah dituduh sebagai anti-pendidikan Cina atau agen CIA, MI6, KGB, atau Perkhidmatan Risikan Australian, tetapi dalam 20 tahun terakhir pula, saya dituduh sebagai anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, komunis, dan mempromosikan Islamofobia

Saya ini mungkin rakyat Malaysia yang paling banyak difitnah.

Dalam 20 tahun pertama kehidupan politik saya, saya telah dituduh sebagai anti-pendidikan Cina atau agen CIA, MI6, KGB, atau Perkhidmatan Risikan Australian, tetapi dalam 20 tahun terakhir pula, saya dituduh sebagai anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, komunis, dan mempromosikan Islamofobia.

Saya bukanlah seperti yang dituduh ini, sebaliknya saya adalah seorang nasionalis dan patriot yang menganggap Malaysia sebagai satu-satunya rumah dan negara saya, yang dilahirkan, dibesarkan, dan akan mati di Malaysia.

Saya percaya yang Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang boleh menjadi contoh tauladan dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.

Saya adalah seorang pembaca yang rakus. Saya membaca penerbitan dalam bahasa Inggeris dan Cina, termasuklah kisah “pertempuran” Cina yang dipinjam dari gerai-gerai tepi jalan. Saya juga seorang yang kerap ke panggung wayang, untuk menonton filem-filem Inggeris dan Cina, terutamanya di dua pawagam murah di Batu Pahat yang mengenakan bayaran 40 sen untuk satu tayangan (ada empat pawagam di Batu Pahat).

Saya merupakan pustakawan di Sekolah Tinggi Batu Pahat semasa hari-hari sekolah menengah saya dan kemudiannya menjadi seorang pustakawan di Perpustakaan Batu Pahat.

Idea-idea saya datang dari zaman persekolahan saya di Batu Pahat, Johor.

Semalam, saya telah melawat salah satu dari “ibu” sekolah saya – sekolah rendah Cina Cheng Siu.

Pada waktu muda saya, saya kerap meminta kepada ibu saya untuk ke sekolah. Namun saya berada di bawah umur dan ibu saya hanya boleh menghantar saya ke tadika berdekatan dengan rumah saya di Jalan Penggaram, Batu Pahat.

Kemudian, saya telah mendaftar ke sekolah rendah Cina Cheng Siu dalam darjah satu dan dua pada tahun 1947 dan 1948 dan pada tahun 1949, saya telah berpindah ke Sekolah Inggeris Batu Pahat untuk menerima enam tahun pendidikan peringkat rendah dan lima tahun pendidikan peringkat menengah. Pada masa yang sama, saya terus ke Cheng Siu pada waktu malam untuk melengkapkan sembilan tahun pendidikan Cina.

Sekolahlah tempatnya di mana kita belajar pengajaran utama kehidupan, seperti kisah General dinasti Song, Yue Fei, yang mana ibunya telah mencacahkan empat perkataan di belakang badannya, jìn zhōng bào guó 盡忠報國 (berkhidmat untuk negara dengan kesetiaan penuh), tetapi negaranya di sini untuk semua orang adalah Malaysia dan bukannya China atau kisah Wen Tianxiang dan kata-katanya ulungnya:

人生自古誰無死

留取丹心照汗青。

(Manusia, sejak dari awal zaman, semuanya telah menemui kematian;)

(Tinggalkan hati keramat kita dalam naskhah sejarah)

Ajaran-ajaran ini telah menjadi panduan hidup saya selama lebih dari lapan dekad.

Sekolah rendah Cina Cheng Siu kini sudah semakin besar dan sudah menjadi dua sekolah – Sekolah 1 dan Sekolah 2.

Perkara ini selari dengan apa yang kita percaya sepatutnya menjadi asas pembinaan negara majmuk Malaysia, di mana Malaysia boleh menjadi contoh tauladan dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.

Dalam tahun-tahun awal DAP, kami memperjuangkan dasar integrasi sebagai asas pembinaan negara untuk mencapai matlamat “Perpaduan dari Kepelbagaian” dan menentang dasar asimilasi.

Perjuangan ini tidak mudah tetapi kami akhirnya berjaya, malah Mahathir Mohamad sendiri, sebelum meletakkan jawatan selepas menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, telah mengatakan pada bulan Disember 2002 yang Barisan Nasional (BN) mahu untuk meneruskan dasar integrasi yang diamalkan di Malaysia untuk menjamin keharmonian kaum dan kestabilan dalam jangka masa panjang.

Dia mengatakan yang dasar seperti ini berkesan baik untuk negara kita kerana negara kita bertuah kerana tidak mempunyai parti-parti politik yang bersifat pelampau.

“Parti-parti politik dalam BN menerima fakta yang negara ini adalah negara berbilang kaum, berbilang budaya, dan berbilang agama dan oleh itu kita perlu bertoleransi dengan kaum, budaya, agama, dan bahasa lain.”

Mahathir mengatakan yang kerajaan pada hari ini tidak berniat untuk memaksa asimilasi ke atas sesiapa kerana idea ini telah pun ditolak rakyat sebelum ini.

Dia mengatakan: “Apa yang kita mahu adalah integrasi pelbagai kaum dan puak menjadi satu masyarakat, dengan semua pihak memainkan peranan masing-masing di mana tidak ada sesiapa diletakkan lebih tinggi berbanding dengan yang lain… perkara ini (integrasi) telah berfungsi dengan sangat baik, tetapi tidak untuk asimilasi.”

Mahathir mengatakan, tidak seperti negara lain di mana migran perlu menerima budaya, bahasa, malah kadang-kalanya, agama pihak majoriti, Malaysia tidak mahu mengasimilasi rakyatnya untuk menjadi satu kaum.

Tidak ada kemarahan dan kebencian di antara kaum-kaum di Malaysia kerana Malaysia adalah antara beberapa negara di dunia, baik dalam kalangan negara maju atau membangun, yang membolehkan rakyat untuk menerima pendidikan dalam bahasa mereka sendiri, ada sekolah sendiri, tetapi pada masa yang sama, mematuhi dasar pendidikan negara.

Mahathir mengatakan yang sifat orang Malaysia adalah “sensitif dengan perasaan orang lain dan kita tidak mahu perkara menjadi lebih buruk yang hanya akan menimbulkan ketegangan di antara kita.”

Saya teringat dengan ucapan Mahathir ini ketika saya melawat Cheng Siu semalam dan saya harap kita dapat memenuhi aspirasi ini.