Skip to content

Dalam setengah abad saya berada di Parlimen, saya akan amat gembira sekiranya kerajaan bersetuju untuk mengadakan perbahasan Laporan Ketua Audit Negara di Parlimen

Dalam setengah abad kerjaya saya berada di Parlimen, saya akan amat gembira sekiranya kerajaan bersetuju untuk mengadakan perbahasan Laporan Ketua Audit Negara di Parlimen.

Namun, pihak pembangkang Perikatan Nasional (PN) telah menjunamkan Parlimen ke dalam kekecohan selama lebih dari satu jam dengan tentangan mereka terhadap usul untuk membahaskan Laporan Ketua Audit Negara 2021 dan kemudiannya lebih buruk lagi, memboikot perbahasan yang berlangsung.

Ahli-ahli Parlimen PN telah bertindak dengan cara yang amat tidak bertanggungjawab sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-15, bukan sahaja dengan mencabar titah Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk bertindak demi kepentingan negara untuk menjamin kestabilan politik dan memastikan terdapatnya perpaduan nasional dalam sebuah Malaysia yang majmuk, kini mereka juga merendah-rendahkan peranan penting Parlimen untuk menjadi semak imbang terhadap pembaziran dan salah guna kuasa oleh pihak Eksekutif.

Mas Ermieyati Samsudin (PN – Masjid Tanah) tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) apabila dia membantah perbahasan ini, sedangkan dia sepatutnya terus berada di dalam Dewan semasa perbahasan ini berlangsung untuk mendengar apakah yang diperkatakan oleh Ahli-ahli Parlimen mengenai Laporan Ketua Audit Negara ini untuk dijadikan panduan kepada PAC.

Lebih ideal sekiranya terdapat peraturan supaya Laporan Ketua Audit Negara ini mesti dibahaskan, dirujuk kepada PAC, dan kemudiannya disyaratkan supaya laporan PAC pula dibahaskan.

Namun, boikot dari Ahli-ahli Parlimen PN telah merendah-rendahkan keseluruhan proses ini.

Persoalannya sekarang adalah bilakah Ahli-ahli Parlimen PN akan bertindak dengan cara yang lebih bertanggungjawab terhadap tanggungjawab dan amanah mereka di Parlimen.