Skip to content

Dalam situasi kes-kes COVID-19 yang melambung tinggi, adakah Malaysia akan mencapai imuniti kelompok melalui jangkitan dan bukannya vaksinisasi?

Malaysia melepasi satu lagi tahap yang mengerikan hari ini dengan lebih daripada 6,000 kematian akibat COVID-19, Dalam masa kurang dari 2 minggu, 1,000 orang lagi telah meninggal dunia sejak jumlah kematian COVID-19 melepasi angka 5,000 pada 28 Jun 2021. Dalam pergelutan melawan COVID-19, Malaysia jatuh semakin teruk tanpa nampak penghujungnya.

Semalam 9 Julai menandakan jumlah jangkitan harian tertinggi dengan 9,180 kes menjadikan 817,838 kes kumulatif. Sehari sebelumnya pada 8 Julai, menandakan jumlah kematian harian tertinggi pada 135. Jumlah tertinggi jangkitan harian dan angka kematian ini berlaku walaupun terdapat Proklamasi Darurat pada 12 Januari dan beberapa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), telah gagal memberi sebarang kesan dalam mengawal COVID-19.

Malaysia menjunam dengan begitu pantas ke kedudukan paling teruk sehingga pertama kalinya dalam sejarah, dilihat sebagai sebuah kerajaan yang gagal oleh Bloomberg. The Economist bahkan meletakkan Malaysia di kedudukan paling bawah atau 50 daripada 50 ekonomi terbesar di dunia, yang menyumbang 90% daripada KDNK dunia dan 76 peratus penduduk, dalam indeks kemampuan pulih daripada pandemik Covid-19 untuk kembali kepada keadaan normal (Global Normalcy Index).

Ini adalah saat yang memalukan dan petunjuk yang jelas terhadap kegagalan Kerajaan PN dalam menangani empat krisis berganda pandemik COVID-19, kemelesetan ekonomi, ketidakstabilan politik yang kronik dan kehancuran ketahanan sosial masyarakat. Namun, tidak ada seorang pun menteri dari pentadbiran sekarang yang mengakui kegagalan mereka atau meletakkan jawatan bagi mengambil tanggungjawab, seperti Menteri Kesihatan India baru-baru ini.

Sebaliknya, Menteri Kanan yang bertanggungjawab atas kegagalan berterusan PKP dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri. Menteri Kesihatan kita masih kekal walaupun pernah menyuruh rakyat Malaysia minum air suam untuk mencegah COVID-19. Perdana Menteri terus berkuasa walaupun telah kehilangan majoriti Parlimen, keabsahan politik dan kewibawaan moralnya. Tidak ada rasa malu atau rasa tanggungjawab kepada rakyat.

Dasar Kerajaan PN yang berubah-ubah antara Kementerian dan pusingan U prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, serta amalan dua darjat dalam penguatkuasaan antara VIP dan rakyat, telah mengakibatkan kegagalan keseluruhan kerajaan dalam menguruskan COVID-19. Sikap sambil lewa Kerajaan PN dalam mendapatkan vaksin dan kelewatan penghantaran menyebabkan kadar vaksinasi yang perlahan dan tidak lancar.

Dalam senario kes COVID-19 yang melambung tinggi, adakah Malaysia akan mencapai imuniti kelompok melalui jangkitan dan bukannya vaksinisasi? Yang lebih merisaukan daripada jumlah tertinggi jangkitan harian kita, adalah kadar positif, mengira peratusan jangkitan berdasarkan jumlah ujian yang dilakukan. Pada 1 Jun, kadar positif adalah 7.04%. Pada 9 Julai, kadar positif adalah 9.42%, jauh melebihi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 5%.

Perdana Menteri Dan Menteri-Menteri Boleh Diganti, Hanya Nyawa Dan Mata Pencarian Yang Tiada Ganti.

Kerajaan perlu menerima pakai pendekatan PKP secara bersasar dengan menggunakan sains dan data berdasarkan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang terbukti berjaya dengan pelaksanaan saringan massa untuk ‘uji, kesan, kuarantin dan rawat’, serta program vaksinasi yang cepat dan lancar, adalah harapan terbaik kita untuk memenangi perang melawan COVID-19. Menaikkan pangkat atau mengekalkan Menteri yang telah gagal menghantar mesej yang salah.

Walaupun terdapat 8 pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion, ramai rakyat Malaysia terpaksa mengibarkan bendera putih di seluruh negara dalam usaha terdesak untuk bantuan makanan dan kewangan. Tinjauan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 4 Jun mengatakan lebih daripada 90% perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berisiko ditutup. Persatuan PKS Malaysia mendedahkan bahawa 100,000 PKS telah ditutup tahun lalu dan 50,000 lagi dijangka mengalami nasib yang sama akibat “total lockdown” sekarang.

Sekali lagi tidak ada yang mahu bertanggungjawab atas kegagalan RM530 bilion ini untuk mengeluarkan ekonomi dari kemelesetan atau sekurang-kurangnya membantu menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian ekonomi selama 15 bulan ini. Kehilangan mata pencarian juga telah menyebabkan kehilangan maruah dan nyawa manusia, yang membawa kepada kehancuran ketahanan sosial masyarakat.

Terdapat 631 kes bunuh diri pada tahun 2020 berbanding 609 pada tahun 2019, yang disebabkan oleh kehilangan mata pencarian dan masalah keluarga. Bagi 5 bulan pertama tahun 2021, terdapat 468 kes bunuh diri atau secara purata lebih dari 3 kes bunuh diri sehari. 3.12 kes bunuh diri sehari ini hampir dua kali ganda daripada 1.7 kes bunuh diri sehari pada tahun 2019. Sebilangan besar kes bunuh diri melibatkan orang Islam, yang jarang berlaku sebelum ini. Di manakah negara ini telah tersalah arah sehingga rakyat Malaysia sudah hilang harapan dan begitu pasrah sekali?

Kemarahan rakyat terhadap kegagalan keseluruhan kerajaan adalah benar seperti yang dapat dilihat di media sosial dan kempen spontan bendera hitam oleh rakyat meminta Kerajaan PN untuk meletak jawatan. Kerajaan harus berhenti mengalihkan kesalahan kepada rakyat kerana tidak mematuhi SOP COVID-19 tetapi sebaliknya mengambil tanggungjawab penuh. Perdana Menteri dan Menteri-Menteri boleh diganti. Hanya nyawa dan mata pencarian yang tiada ganti.