DAP akan kekal berhadapan dengan arahan secara sewenang-wenang serta salahguna kuasa oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) jika ROS terus gagal untuk mematuhi dua syarat untuk memberi penjelasan penuh tentang sebab-sebab kenapa DAP perlu melakukan pemilihan semula serta peruntukan undang-undang yang berkaitan, di bawah Akta Pertubuhan. Dalam mesyuarat tergempar semalam, ahli CEC amat terkejut bagaimana pihak ROS boleh membuat keputusan yang sebegitu penting secara sewenang-wenangnya hanya atas alasan bahawa ia tidak puas hati tanpa memberi apa-apa sebab.
Tindakan memberikan arahan singkat supaya mengadakan pemilihan semula atas alasan yang begitu subjektif bahawa ia tidak berpuas hati tanpa memberi sebab-sebab kenapa ia tidak berpuas hati adalah tidak boleh diterima menurut mana-mana standard etika, tidak demokratik, serta merupakan satu penafian keadilan dan proses undang-undang yang sepatutnya. Jika inilah alasan dalam proses membuat keputusan oleh pihak ROS, maka parti pembangkang seperti DAP sampai bila-bila pun akan dijadikan tebusan lantaran aduan yang mengarut dan tidak berasas. Di masa hadapan, tidak akan ada apa-apa yang boleh menghalang ROS daripada mengarahkan supaya diadakan pemilihan semula pada bila-bila masa sesuka hati ROS tanpa memberikan sebab.
DAP berhak untuk dimaklumkan kenapa tindakannya untuk membetulkan kesilapan dalam pengumuman keputusan pemilihan tidak diterima oleh ROS. Semua dokumen sokongan telah pun diserahkan kepada ROS bagi membuktikan bahawa pemilihan parti Disember tahun lalu telah dilakukan dengan baik, menepati undang-undang serta secara demokratik di mana semua perwakilan yang layak telah dimaklumkan tanpa sebarang perlakuan tidak jujur serta politik wang.
Satu-satunya kesilapan adalah dalam hal penyiaran keputusan oleh ketua pegawai pemilihan yang mengakibatkan jumlah undi yang salah diumumkan untuk beberapa calon dan hanya memberi kesan kepada satu calon yang berjaya. Kesilapan ini mengakibatkan seorang calon, Vincent Wu, yang telah diumumkan sebagai calon yang berjaya secara silap digantikan dengan calon yang sepatutnya, Zairil Khir Johari.
Apabila kesilapan ini disedari, ia terus diperakui dan diperbetulkan oleh pihak parti secara sukarela tanpa didedahkan oleh mana-mana pihak luar. Keputusan yang betul turut diperiksa oleh sebuah firma audit bebas dan berkecuali. Pihak parti sekarang sedang dihukum kerana enggan menutup kesilapan, dan kerana berlaku jujur dan berkata benar.
Itulah sebabnya dalam mesyuarat tergempar pada 31 Julai 2013, CEC DAP telah secara sebulat suara membuat keputusan untuk menjawab notis daripada pihak ROS bertarikh 30 Julai 2013 seperti berikut:-
“Bahawa DAP tidak dapat menerima arahan pihak ROS seperti yang terkandung di dalam surat tersebut kecuali dua syarat berikut dipenuhi:-
a) Pihak Pendaftar memberikan sebab-sebab kenapa ia tidak berpuas hati dengan penjelasan yang telah diberikan oleh DAP tentang perjalanan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat atau CEC pada 15 Disember 2013 menurut notis di bawah seksyen 16(1) Akta Pertubuhan 1966 seperti yang dinyatakan dalam surat tersebut; dan
(b) Pihak Pendaftar menjelaskan di bawah peruntukan undang-undang apa arahan supaya pemilihan semula CEC diadakan seperti yang dinyatakan dalam surat tersebut.”