Saya telah mengarahkan Biro Guaman DAP Nasional untuk melakukan pembelaan bagi wakil rakyat DAP bagi DUN Tras, Chow Yu Hui, yang ditahan oleh polis di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, semasa beliau juga menjalankan tugasnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi pihak pekebun durian musang king di Raub, Pahang.
Chow telah dibebaskan selepas tengah malam pagi tadi, tetapi 18 orang pekebun durian masih ditahan. DAP juga akan menawarkan bantuan guaman kepada mereka yang ditahan. Ini adalah masalah mata pencarian bagi pekebun durian yang telah menjalankan aktiviti pertanian di kawasan tersebut selama beberapa dekad dan Kerajaan Negeri Pahang perlu berusaha menyelesaikan masalah ini secara baik antara syarikat swasta besar dan pekebun.
Kerajaan Negeri Pahang mendakwa bahawa tindakan diambil di kawasan berhampiran dan bukan di dalam kawasan yang dilindungi oleh penangguhan Mahkamah Rayuan. Oleh kerana para pekebun durian musang king telah mendapat penangguhan tindakan kerajaan negeri daripada Mahkamah Rayuan, kerajaan negeri harus menghormati maksud dan prinsip penangguhan yang diberikan dengan tidak meneruskan sebarang tindakan sehingga mahkamah memutuskan sebaliknya.
DAP akan memberi sokongan kepada Chow dan DAP Pahang dalam menyokong hak pekebun durian musang king untuk mencari mata pencarian.