Skip to content

DAP akan mencadangkan usul tahniah dan penghargaan di Dewan Rakyat terhadap wira-wira negara yang mengharumkan nama negara di temasya Paralimpik Rio sebagai pengiktirafan tertinggi kepada mereka

DAP merakamkan setinggi-tinggi tahniah terhadap 3 wira negara iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly yang berjaya merangkul 3 pingat emas sekaligus dalam acara masing-masing di temasya Paralimpik Rio de Janeiro.

Kejayaan merangkul pingat emas, apatah lagi memecahkan rekod dunia untuk acara lontar peluru F20 bagi Muhamad Ziyad Zolkefli dan acara lompat jauh T20 bagi Abdul Latif Romly merupakan pencapaian yang cukup mengharumkan nama negara dan membanggakan rakyat Malaysia!

Kejayaan atlet-atlet Paralimpik tersebut mesti diberikan pengiktirafan tertinggi memandangkan cabaran yang mereka tempuhi adalah sangat tinggi dan memerlukan usaha dan kesabaran yang berlipat ganda berbanding atlet-atlet biasa.

DAP menyokong penuh dasar Kementerian Belia dan Sukan untuk memberikan ganjaran yang setimpal dengan atlet-atlet Olimpik kepada pemenang-pemenang di Paralimpik. Ketiga-tiga wira Paralimpik yang merangkul pingat emas untuk Malaysia wajar diberikan ganjaran RM1 juta setiap orang. Malah, saya ingin mencadangkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin supaya mendapatkan kelulusan dari Kabinet untuk memberikan insentif khas kepada atlet-atlet yang memecahkan rekod dunia.

Memandangkan 3 wira tersebut telah mencipta sejarah memenangi pingat emas di temasya Paralimpik buat kali pertama untuk Malaysia, mereka wajar diberikan pengiktirafan tertinggi negara melalui institusi Parlimen selain daripada ganjaran kewangan dari kerajaan.

Bagi pihak DAP, saya akan mencadangkan usul tahniah dan penghargaan kepada semua wira negara yang mengharumkan nama negara di temasya Paralimpik dan Olimpik Rio 2016 di permulaan Persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula pada 17 Oktober depan.

Sekiranya Parlimen Singapura boleh meluluskan usul tahniah sebagai pengiktirafan terhadap pemenang pingat emas pertama mereka Joseph Schooling, tidak ada sebab mengapa Parlimen Malaysia tidak boleh menerima usul kami untuk dibahas dan diluluskan secara sebulat suara untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia dan masyarakat dunia bahawa sukan boleh menjadi penggerak perpaduan nasional yang merentasi perbezaan politik, kaum, agama dan wilayah!