Skip to content

DAP akan menganjurkan Upacara Peringatan Umum di Nirvana Memorial Park, Semenyih sempena memperingati ulang tahun pemergian Sdr Teoh Beng Hock ke-5

DAP akan menganjurkan Upacara Peringatan Umum di Nirvana Memorial Park, Semenyih sempena memperingati ulang tahun pemergian Sdr Teoh Beng Hock ke-5 pada Jam 8:30 pagi Ahad, 13 Julai 2014. Saya mengundang orang ramai untuk hadir bagi menunjukkan sokongan terhadap ketidakadilan yang menimpa Beng Hock.

Mendiang Teoh Beng Hock, setiausaha politik saya ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di bangunan berkenaan. Kematian tragis Teoh menjadi tumpuan segenap lapisan masyarakat, namun walaupun 5 tahun telah berlalu sejak kejadian tersebut, mendiang masih belum mendapatkan keadilan yang sewajarnya.

Perdana Menteri pernah berjanji memberikan keadilan dan kebenaran kepada keluarga Teoh. Akan tetapi, janji Perdana Menteri masih tidak ditepati selepas 5 tahun. Kami tidak boleh menerima hakikat bahawa tiada pihak yang bertanggungjawab atas kematian Beng Hock! Bagaimanakah pentadbiran negara boleh diserahkan kepada seseorang yang begitu rendah martabatnya?

Kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib bukannya tidak mampu memberikan keadilan dan menegakkan kebenaran untuk Beng Hock, tetapi mereka sesungguhnya cuba menutupi kebenaran. Siasatan yang ditangguhkan, tragedi Beng Hock yang dilenyapkan dari ingatan masyarakat adalah taktik lazim Barisan Nasional. Sungguhpun begitu, DAP tidak akan berputus asa demi mendapatkan keadilan untuk Beng Hock, dan juga untuk mangsa-mangsa yang mati dalam tahanan pihak berkuasa.