Skip to content

DAP akan terus mempertanyakan lima soalan mudah mengenai Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tanpa mengira sama ada soalan tersebut memberi kelebihan kepada beliau dalam pemilihan parti PAS

DAP bangga dengan rekodnya yang tidak pernah masuk campur dalam pemilihan dalaman mana-mana parti politik. Pun begitu, DAP tidak akan membiarkan dirinya dibisukan oleh pemilihan parti PAS bagi menghalang DAP daripada mengatakan apa yang benar dan mempertahankan yang hak dari yang batil. Tidak kiralah kalau pun persoalan sedemikian memberi kelebihan kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Datuk Seri Abdul Hadi telah terjamin menang dan tidak memerlukan sebarang bantuan luar untuk memenangi kerusi Presiden PAS. Atas sebab ini pimpinan tertinggi DAP, dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada 25 Mei 2015 mengulangi kesediaan untuk berhadapan sebarang kemungkinan bagi Pakatan Rakyat pada masa akan datang.

Walaupun Hadi telah dilaporkan berkata bahawa ‘setakat ini beliau masih bersama Pakatan Rakyat’, beliau mesti membuktikan komitmennya dengan menjawab lima soalan mudah. Kenapa Hadi:

  1. memungkiri komitmen PAS kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan jaminan peribadinya kepada pimpinan Pakatan?
  2. menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di tengah kemelut skandal RM42 bilion 1MDB?
  3. mahu mewujudkan ‘kerajaan perpaduan’ bersama Umno?
  4. enggan menyatakan sokongan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh baru-baru ini?
  5. mengisytiharkan bahawa menjadi kewajipan umat Islam untuk menyatakan kemarahan terhadap DAP kerana membantah undang-undang hudud, tanpa menyebut tentang orang Islam lain, orang bukan-Islam, serta rakyat Sabah dan Sarawak yang turut membantah undang-undang hudud. Bantahan terhadap hudud bukan kerana hudud adalah sebahagian daripada Islam tetapi kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan?

Kenyataan-kenyataan Hadi ini adalah tidak konsisten dengan perakuan bertaat setia dan menyokong Pakatan Rakyat. Jika Hadi tidak boleh mengotakan janjinya, bagaimana DAP boleh bekerjasama dengan Hadi atas dasar hormat dan percaya?

Bukan sahaja Hadi, malah pimpinan senior PAS juga telah mengelak daripada menjawab lima persoalan ini dengan cuba menyalahkan DAP jika terjadinya perpecahan dalam Pakatan Rakyat. Hanya kerana mempersoalkan lima perkara ini, beberapa pimpinan PAS telah menyerang DAP lebih hebat daripada mereka menyerang Umno. Namun DAP mesti terus konsisten dengan prinsip dan mempersoalkan lima perkara ini, bukan sahaja selepas Muktamar PAS tetapi juga sebelum ia berlangsung.