Skip to content

DAP bersedia bekerjasama dengan semua parti politik untuk menekan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya melanjutkan moratorium pembayaran balik pinjaman bank secara automatik untuk 6 bulan lagi demi membantu menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan yang terjejas dengan peningkatan terbaru jangkitan COVID-19

DAP bersedia bekerjasama dengan semua parti politik untuk menekan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya melanjutkan moratorium pembayaran balik pinjaman bank secara automatik untuk 6 bulan lagi demi membantu menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan yang terjejas dengan peningkatan terbaru jangkitan COVID-19. Gelombang ketiga penularan COVID-19 telah melemahkan pemulihan ekonomi yang baru bermula, terutama di kalangan perniagaan kecil dan memerlukan langkah ekonomi dan kewangan serta merta, untuk mengelakkan penyusutan ekonomi pada suku akhir tahun ini.

Kerajaan PN telah mengecewakan ramai rakyat Malaysia dengan kegagalan melanjutkan moratorium pembayaran balik pinjaman bank secara automatik untuk 6 bulan lagi ketika dia mengumumkan tambahan RM10 bilion bantuan kewangan Kita Prihatin bulan lalu. Pakej Kita Prihatin berjumlah RM305 bilion dijangka menyumbang 3.7% hingga 4% kepada pertumbuhan KDNK tahun ini. Walau bagaimanapun, ini tidak mungkin dapat dicapai berikutan rekod jumlah jangkitan terbaru COVID-19.

Atas sebab ini, lanjutan moratorium pinjaman bank secara automatik selama 6 bulan hingga 31 Mac 2021, diperlukan untuk mengatasi kemerosotan pertumbuhan ekonomi. Moratorium pinjaman yang berakhir pada 30 September 2020 telah membantu meringankan beban perniagaan dan isi rumah yang terjejas pasca Covid-19, dengan menangguhkan pembayaran pinjaman, termasuk untuk pinjaman gadai janji dan sewa beli. Nilai moratorium pinjaman ini kepada 8 juta peminjam individu dan korporat adalah RM90 bilion, suatu pelepasan kewangan yang besar yang telah membantu menyelamatkan mata pencarian, perniagaan dan pekerjaan.

Tan Sri Muhyiddin mendakwa bahawa lanjutan moratorium pinjaman bank dan bantuan bank bersasar selepas 30 September, telah membantu lebih daripada 1.4 juta peminjam. Walau bagaimanapun, jumlah peminjam ini masih jauh lebih rendah daripada 8 juta peminjam individu dan korporat yang mendapat manfaat daripada penangguhan 6 bulan moratorium pinjaman bank secara automatik.

Kos lanjutan moratorium pinjaman automatik hanya RM6.4 bilion. Industri perbankan yang mencatatkan keuntungan sebanyak RM32 bilion pada tahun 2019 mampu menanggung kos tersebut. Sekiranya industri perbankan tidak mahu memikul tanggungjawab sosial korporat tersebut, kerajaan harus menggalasnya. Berapa sangatlah RM6.4 bilion berbanding pakej kewangan Kita Prihatin bernilai RM305 bilion atau nilai moratorium pinjaman RM90 bilion kepada 8 juta peminjam dan syarikat individu?

Rakyat Malaysia sudah menderita akibat penguncupan pertumbuhan KDNK 17.1% pada suku tahun kedua, iaitu yang terburuk di antara negara-negara ASEAN, dan 1 juta rakyat Malaysia yang menganggur. Banyak lagi yang perlu dilakukan. Sekiranya Tan Sri Muhyiddin enggan mendengar rintihan lebih daripada 6.6 juta peminjam yang diabaikan ketika moratorium pinjaman berakhir pada 30 September, maka semua parti politik harus bekerjasama untuk mendesak lanjutan moratorium pinjaman secara automatik selama 6 bulan lagi, untuk menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan rakyat Malaysia.