DAP ingin mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang telah menyokong 14 calon kami, termasuk di empat kerusi yang kami kalah. DAP bersyukur dan merendah diri dengan sokongan rakyat walaupun berdepan dengan pandemik COVID-19, kemelesetan ekonomi dan kekecewaan orang ramai berikutan kehilangan yang mengecewakan sebuah kerajaan melalui pengkhianatan terhadap mandat rakyat melalui “Langkah Sheraton”.
DAP menerima keputusan rakyat dan mengucapkan tahniah kepada mereka yang menang. DAP berharap janji yang dibuat akan ditunaikan. DAP dan PH akan terus mempertahankan kehidupan rakyat dengan memperjuangkan isu kenaikan harga barang, menolak cukai pendapatan sumber asing dan menentang kenaikan denda kompaun yang melampau bagi pelanggaran SOP COVID-19 kepada RM10,000 bagi individu dan RM1 juta bagi syarikat.
Bagi 10 kerusi yang dimenangi DAP, DAP akan memastikan wakil rakyat kami berkhidmat kepada rakyat dengan sebaik mungkin untuk menunaikan amanah yang diberikan oleh rakyat. Bagi 4 kerusi yang DAP kalah, kita akan buat pascanilai. Tidak dinafikan prestasi perkhidmatan wakil rakyat sebelum ini menjadi salah satu faktor. Malangnya, di sebalik perkhidmatan cemerlang Sheikh Omar, beliau tidak dapat mengekalkan kerusi Paloh. Di Yong Peng, calon kami adalah calon baru tetapi rekod perkhidmatan cemerlangnya sebagai ADUN Senai membantu calon baharu kami menang di Senai dengan meyakinkan.
Saya telah bercakap dengan semua 4 calon yang kalah dan mereka komited untuk terus berkhidmat di kawasan mereka bertanding walaupun telah kalah. DAP dan PH perlu memperbetulkan kelemahan kita, terutamanya dalam menyampaikan kepada orang ramai tentang kesatuan menentang BN di bawah pendekatan “Khemah Besar” PH. DAP komited untuk menjaga, membantu dan mempertahankan hak semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama di bawah konsep Mengutamakan Rakyat Malaysia. Kita mesti bekerjasama dengan mendahulukan identiti Malaysia kita daripada perkara yang lain.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin parti di seluruh negara dan di Johor kerana berdiri bersama-sama dan berkempen untuk parti dalam keadaan kempen yang sukar. Perpaduan dan komitmen yang ditunjukkan boleh dilihat dengan perjuangan di Yong Peng dalam cubaan membalikkan serangan ganas MCA yang mencurahkan segala-galanya di Yong Peng. Walaupun perjuangan itu tidak berjaya, usaha itu memberi perangsang kepada seluruh parti dan menggerakkan semua ahli untuk berjuang lebih keras dan membolehkan kami mengekalkan 10 kerusi DAP.
DAP dengan rendah hati dan kesyukuran berterima kasih kepada pengundi yang menyokong kami dan kami bertekad untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab.