Memandangkan jumlah kes Covid-19 di negara kita telah mencecah 460,000 kes, saya menggesa kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional (PN) untuk belajar daripada kerajaan negeri Selangor yang ditadbir Pakatan Harapan dengan melaksanakan saringan beramai-ramai secara percuma untuk mengelakkan keadaan pandemik menjadi semakin teruk.
Rejim PN telah diperuntukkan RM1 bilion peruntukan untuk menghadapi gelombang ketiga pandemik Covid-19 dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan tahun lepas. Malahan rejim PN turut berniat menggunakan RM5 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk memperoleh vaksin selain menggunakan RM3.5 bilion yang asalnya telah diperuntukkan untuk tujuan tersebut.
Sehubungan dengan itu, kerajaan persekutuan PN adalah tidak boleh menggunakan alasan ketiadaan peruntukan dan wajib melaksanakan saringan percuma terhadap setiap rakyat Malaysia mahupun pekerja asing demi memutuskan rantaian wabak.
Sekiranya kerajaan negeri Pakatan Harapan Selangor mampu menanggung kos untuk melaksanakan saringan sebegini dalam kesemua 56 kawasan DUN, apakah sebabnya kerajaan Muhyiddin enggan berbuat demikian di seluruh negara?
Walaupun saringan besar-besaran akan mengakibatkan kes meningkat secara mendadak untuk tempoh tersebut, akan tetapi dengan berpaksikan prinsip “mencegah adalah lebih baik daripada mengubat” dan maka kerajaan PN adalah tidak wajar membiarkan masalah tersebut daripada berpanjangan dan hanya panik sewaktunya wabak sudah merebak dalam kominiti. Sikap buat tak tahu yang dipamerkan kerajaan PN tidak akan mengurangkan kes Covid-19, sebaliknya akan mengeruhkan keadaan lagi.
Kaedah yang digunapakaikan rejim PN dalam melawan Covid-19 adalah jelas gagal dan kebanyakan negara yang mengamalkan saringan beramai-ramai telahpun berjaya mengesan bagaimana wabak tersebut akan merebak dengan pantas dan ini sebenarnya adalah amat penting dalam mengesan kontak rapat dan sebagainya.
Kini, apabila kes meningkat, kerajaan PN hanya bersikap panik dengan menutup semua premis atau bidang perniagaan yang sesungguhnya tidak pernah adanya kluster dan ini membuatkan peniaga dan rakyat semakin marah atas tindakan rejim PN. Nescaya dengan memperoleh statistik selepas pelaksanaan saringan beramai-ramai, barulah kerajaan berupaya untuk memperkenalkan dasar yang lebih mesra peniaga dan rakyat untuk memastikan keberlangsungan kehidupan rakyat dan mengelakkan nyawa rakyat daripada terus berkorban dalam keadaan pandemik Covid-19.