Semalam, bersempena tarikh Hari Malaysia 16 September, DAP Johor secara rasminya membuka Pusat Komuniti Layang-layang.
DAP Johor juga mengumumkan secara rasmi perlantikan Sdri Marina Binti Ibrahim sebagai penyelaras DAP DUN Layang-layang.
Pusat Komuniti Layang-layang akan menjadi pusat sehenti bagi merancang program serta aktiviti melibatkan rakyat di DUN ini.
Komposisi rakyat di DUN Layang-layang ialah lebih kurang 53% Melayu, 33% Cina dan 14% India.
DAP Johor yakin dengan perlantikan Sdri Marina Ibrahim sebagai penyelaras DUN, kami akan dapat memainkan peranan yang lebih berkesan untuk menyantuni dan membantu rakyat Layang-layang yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Sempena pembukaan rasmi Pusat Komuniti Layang-layang semalam juga, kami telah mengedarkan sumbangan sayur sebanyak 500 bungkus untuk warga disini pada sebelah pagi. Program sumbangan tersebut telah turut sama dihadiri oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam YB Dr Maszlee Malik, Pengerusi DAP Johor Sdra Liew Chin Tong, Naib Pengerusi DAP Johor merangkap ADUN Paloh YB Sheikh Omar dan ADUN Senai YB Alan Tee Boon Tsong.
Pada tarikh yang bersejarah semalam, kami bertekad untuk lakukan yang terbaik buat kawasan DUN Layang-layang. Melalui Pusat Komuniti yang ditubuhkan, pelbagai aktiviti akan dirancang untuk membantu rakyat tanpa mengira kaum, sesuai dengan semangat Hari Malaysia yang disambut bersama.