DAP kecewa dengan naratif bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa “DAP pernah menjadi parti ekstrem dengan tuntutan mereka yang berkiblatkan pada orang Cina, dengan memetik penentangan DAP sebelum ini terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB) oleh kerajaan untuk membantu orang Melayu yang miskin, tetapi sekarang tidak semua dari mereka bersikap sebegitu lagi.” Sekali lagi, naratif ini adalah salah, tidak berasas dan tersasar apabila DAP tidak pernah berkiblatkan kaum atau berasaskan agama.
DAP tidak pernah menentang dasar termasuk DEB, yang bertujuan untuk membantu orang Melayu yang miskin dan memberi mereka peluang yang sama. Namun, DAP menentang dengan keras dwi-identifikasi kaum dengan kekayaan dan kaum dengan kemiskinan. Untuk menyatakan bahawa semua orang Melayu miskin atau semua orang Cina kaya adalah simplistik dan mengelirukan dan paling teruk, memecah-belahkan dan melampau.
Perjuangan DAP untuk keadilan sosio-ekonomi berdasarkan pada prinsip bahawa tidak sepatutnya wujud identifikasi kemiskinan dengan kaum, dan semua rakyat Malaysia harus diberi peluang yang sama dan diberi bantuan berdasarkan keperluan agar orang bukan Melayu yang miskin tidak ketinggalan. Oleh kerana majoriti golongan miskin adalah orang Melayu atau Bumiputera dari Sabah dan Sarawak, mereka tetap akan menjadi penerima manfaat terbesar.
Sama ada dalam kerajaan atau pembangkang, DAP tidak pernah menentang DEB atau dasar yang memberikan bantuan dan peluang yang sama untuk semua rakyat Malaysia yang miskin. Rekod prestasi kami sebagai kerajaan di Pulau Pinang dan di Putrajaya dapat membuktikannya.
Apa yang sangat ditentang DAP adalah penyimpangan dalam pelaksanaan DEB oleh golongan elit dan kroni dari semua kaum, yang menyebabkan berlakunya penyalahgunaan kuasa, rasuah dan pembaziran dana awam yang terus-menerus mengikat orang-orang Melayu dan bukan Melayu dalam perangkap kemiskinan. Ratusan bilion ringgit yang dibelanjakan tidak berjaya mengangkat rakyat Malaysia keluar dari perangkap kemiskinan kerana salah laku tersebut.
Semasa dalam kerajaan, Menteri DAP berjuang bersungguh-sungguh untuk pengembangan insentif bagi meningkatkan produktiviti, mewujudkan pekerjaan dan peralihan ke ekonomi digital, kadang-kadang berjaya, kadang-kadang tidak. Program MalaysiaKerja adalah salah satu kejayaan ini dengan memberikan insentif upah bulanan RM500 kepada pekerja yang menganggur dan insentif pengambilan pekerja bulanan RM300 untuk mendorong majikan mengambil rakyat Malaysia tempatan untuk berkerja, bagi mewujudkan 350,000 peluang pekerjaan. Pengecualian kabotaj untuk menambah daya tarik Malaysia bagi pelaburan teknologi digital adalah satu lagi contoh lain. Bagi separuh berjaya adalah pengurangan tol sebanyak 18% di Lebuhraya Utara-Selatan yang dilaksanakan sebagai langkah pertama dari siri pengurangan progresif hingga akhirnya penghapusan tol.
DAP sentiasa bersikap sederhana dan inklusif, dan terbuka bukan hanya kepada orang Melayu tetapi juga rakyat Malaysia kerana perjuangan politik kita adalah berasaskan untuk menegakkan, melindungi dan memelihara Perlembagaan Persekutuan. DAP beriltizam untuk mewakili dan bekerja untuk semua, tanpa mengira kaum atau agama sebagaimana yang dibuktikan oleh DAP yang mempunyai wakil rakyat dari semua etnik utama.
Pemimpin DAP telah masuk penjara kerana memperjuangkan keadilan untuk orang Melayu. Sejarah telah membuktikan bahawa ahli DAP adalah matang dan akan menolak mana-mana pemimpin yang menyimpang dari kerangka pelbagai kaum dan agama atau berusaha mengubah budaya kepelbagaian dalam DAP.