Saya merujuk kepada satu laporan Bernama pada 28 Mac 2015, “Kedah DAP slams Guan Eng for cutting ties with Hadi”.
Laporan tersebut menyatakan “Pengerusi DAP Kedah” Tan Yen Chai telah mengadakan satu sidang media di Alor Setar semalam dan mengkritk keputusan pucuk pimpinan DAP untuk memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sebagai tidak demokratik.
Saya ingin menegaskan bahawa Tan Yen Chai TIDAK PERNAH dilantik sebagai Pengerusi DAP Kedah dan semua individu yang mendakwa diri mereka sebagai ahli jawatankuasa DAP Kedah di bawah pimpinan Tan Yen Chai adalah tidak sah sama sekali. Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP tidak pernah mengiktiraf kedudukan kumpulan ini.
Pengerusi DAP Kedah pada ketika ini ialah Tan Kok Yew yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah untuk kawasan Derga.
Justeru itu, DAP Pusat menegaskan bahawa laporan Bernama semalam adalah tidak benar dan mengelirukan kerana ia langsung tidak mewakili pendirian DAP Kedah!
Saya menyeru pihak media supaya tidak lagi melaporkan pandangan peribadi Tan Yen Chai dan kumpulannya sebagai mewakili pandangan dan pendirian DAP Kedah selepas penjelasan ini.