Dua puluh lapan tahun yang lepas, pada bulan September 1995, para pengundi di Bagan telah menyelamatkan DAP dan demokrasi di Malaysia selepas DAP menyaksikan kekalahan terburuknya dalam tiga dekad semasa pilihan raya umum 1995 di mana gabungan kerajaan telah menang dengan majoriti lima per enam di Parlimen.
Dalam Pilihan Raya 1995 pada bulan April, P. Patto menang dengan majoriti 118 undi.
Malangnya, P. Patto telah meninggal dunia terlebih dahulu.
Dalam pilihan raya kecil Bagan yang menyusul, saya minta kemenangan majoriti 5,000 undi untuk menyelamatkan DAP dan demokrasi dalam pilihan raya kecil yang menyusul dan Lim Hock Seng telah menang di PRK Bagan pada 9 September 1995 dengan majoriti 11,802 undi dan Bagan diberikan gelaran Bandar Demokrasi.
Pada tahun 2008, para pengundi Bagan memilih Lim Guan Eng sebagai Ahli Parlimen mereka dengan majoriti 22,070 undi dan memulakan satu pentadbiran baharu di Pulau Pinang.
Pada tahun 2018, para pengundi Bagan sekali lagi memilih Lim Guan Eng sebagai Ahli Parlimen mereka dengan 43,902 undi membawa masuk sebuah kerajaan baharu di peringkat kebangsaan.
Pada 12 Ogos 2023, para pengundi di Bagan Jermal, Sungai Puyu, dan Bagan Dalam, yang membentuk kerusi Parlimen Bagan dan kawasan dewan undangan negeri Prai yang bersebelahan diminta untuk memilih menjadikan Pulau Pinang hebat di persada dunia sebagai perintis sebuah Malaysia yang hebat dalam abad Asia dan bukannya menjadi sebuah kegagalan besar dunia dalam dua ke tiga dekad yang akan datang.
Dalam enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos, hanya gabungan Pakatan Harapan–Barisan Nasional yang menawarkan agenda untuk membangkitkan semula Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dengan Ekonomi Madani yang merangkumi perkara-perkara seperti berikut:
- Menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia dari segi kadar keluaran dalam negara kasar. Malaysia buat masa ini berada di tempat ke-35.
- Berada dalam kedudukan 12 teratas dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD. Kita sedang berada di tempat ke-27.
- Tempat 25 ke atas dalam Indeks Pembangunan Manusia PBB. Tempat semasa adalah ke-62.
- Tempat 25 ke atas dalam Indeks Persepsi Rasuah. Tempat semasa adalah ke-61.
Gabungan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai sebarang rancangan untuk membangkitkan semula Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia. Malah, gabungan PN mencadangkan supaya negara kita terus berada dalam hala tuju sedia ada yang hanya akan menyaksikan Malaysia menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup dalam dekad-dekad yang akan datang.
Dalam beberapa dekad yang lepas, Malaysia telah menyaksikan kemerosotan, ditinggalkan di belakang Singapura, Taiwan, Korea Selatan, Hong Kong, dan Vietnam.
Kita kini berada dalam bahaya ditinggalkan di belakang China, Indonesia, dan India pula dalam masa terdekat ini.
Dalam enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini, kita bukan sahaja perlukan hentikan kemerosotan ini, tetapi kita perlu mengundi untuk memastikan pada zaman anak-anak dan cucu-cucu kita kelak, Malaysia akan bangkit semula menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.
Abad ke-21 dikatakan sebagai “Abad Asia” terutamanya dalam satu masa di mana Asia, terutamanya Asia Timur dan Asia Tenggara, akan memainkan peranan yang penting dan utama dalam hal ehwal antarabangsa, ekonomi, dan geopolitik.
Pulau Pinang dan Malaysia perlulah menjadi perintis dalam Abad Asia ini.
Kita tidak boleh setakat menghentikan kemerosotan ini, tetapi kita perlu mengundi untuk memastikan pada zaman anak-anak dan cucu-cucu kita kelak, Malaysia akan bangkit semula menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.