Sebagai tanda solidariti bersama ratusan ribu mangsa banjir di Pantai Timur dan negeri-negeri yang terjejas, DAP Malaysia melancarkan “TABUNG BENCANA BANJIR” untuk mengutip derma daripada rakyat Malaysia untuk disalurkan kepada kawasan-kawasan yang terjejas teruk akibat daripada bencana banjir tahun ini yang merupakan antara yang paling serius dalam sejarah negara.
Sebagai permulaan, DAP Pusat telah memutuskan untuk memperuntukkan RM10,000 (Sepuluh Ribu Ringgit) untuk tabung tersebut.
Semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri DAP di seluruh negara telah diarahkan untuk melancarkan kutipan derma daripada orang ramai di kawasan masing-masing pada hujung minggu ini juga.
Semua kutipan derma perlu dimasukkan dalam satu akaun khas iaitu “Tabung Dana Kecemasan” (Ambank 8881002244649). Sesiapa yang ingin menderma secara ‘online’ (atas talian) juga boleh berbuat demikian.
Semua wang yang dikutip melalui tabung ini akan disalurkan kepada kawasan-kawasan yang paling teruk terjejas mengikut keperluan.
Selain itu, sebuah trak dengan muatan satu kontena air mineral dan roti akan dikerahkan ke Gua Musang dan Kuala Krai pada hari Isnin, 29 Disember 2014 untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa di kawasan tersebut. Saya sendiri akan mengetuai misi tersebut ke Kelantan.
Usaha berterusan sedang dijalankan untuk mendapatkan lebih banyak kontena untuk dikerahkan ke kawasan-kawasan yang serius terutamanya di negeri Kelantan.
Pucuk pimpinan DAP ingin menyeru semua rakyat Malaysia menghulurkan bantuan secara ikhlas dan menderma kepada “Tabung Bencana Banjir” kami untuk membantu mangsa-mangsa yang terjejas.