Skip to content

DAP MEMBIDAS TUDUHAN TIDAK BERASAS DAN BERUNSUR MENIPU OLEH MCA MENGENAI KELULUSAN PEMBINAAN SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN BANDAR SUNGAI LONG

Ng Tien Chee, Ahli Dewan Negeri Kawasan Balakong membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong yang menyatakan Kerajaan Negeri Selangor dibawah pimpinan Pakatan Rakyat sengaja melambatkan kelulusan pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bandar Sungai Long tidak berasas dan ia berunsur penipuan. Beliau menegaskan bahawa pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Ahli-ahli Majlis MPKj dan beliau sendiri telah bertungkus lumus membantu menyelesaikan isu kelulusan pembinaan sekolah tersebut.

Menurut Ng yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, pihak Jawatankuasa Pembinaan SJK(C) Bandar Sungai Long (JPS) telah mengemukakan permohonan secara serentak bagi Kebenaran Merancang, pelan infrastruktur dan pelan bangunan pada 15hb Mei 2012 dan ketiga-tiga permohonan telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) pada 22hb Mei 2012. Permohonan Kebenaran Merancang telah diluluskan dengan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh pemohon berdasarkan ulasan Jabatan Teknikal masing-masing termasuk menyediakan jalan susur 66 kaki sebagai jalan perkhidmatan ke sekolah bagi mengelakkan kesesakan lalulintas dan beberapa lagi ulasan yang bertujuan mengelakkan kesulitan orang ramai selepas pembukaan sekolah itu kelak. Ia bermakna bahawa pelan infrastruktur dan pelan bangunan yang telah dikemukakan sebelum ini perlu di pinda mengikut ulasan tersebut dan dikemukakan semula untuk kelulusan.

MPKj telah menghantar beberapa surat peringatan meminta Jawatankuasa Pembinaan Sekolah mengemukakan pelan pindaan infrastruktur dan pelan bangunan tetapi tidak menerima sebarang maklumbalas. MPKj juga mengadakan suatu mesyuarat khas dengan menjemput wakil perunding, Jawatankuasa Pembinaan Sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah dan jabatan-jabatan teknikal yang terlibat pada 22hb September 2014 dengan hasrat ingin membantu mempercepatkan proses mengemukakan dokumen dan pelan yang masih tertunggak supaya boleh memberi kelulusan kepada pembinaan sekolah untuk kepentingan penduduk setempat. Ng menjelaskan bahawa usaha yang dinyatakan di atas boleh dibuktikan dengan rekod perbincangan beliau dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Sekolah yang juga Pengerusi MCA Hulu Langat Lee Ban Seng melalui Whatsapp. “Lee jelas diberitahu tetapi seolah-olah sengaja tidak memahami apakah dokumen dan pelan yang masih tertunggak,” tambah Ng.

“Saya berasa kecewa terhadap kenyataan Wee kerana membuat tuduhan yang tidak berasas serta berniat menipu dan mencabar Wee supaya menunjukkan kronoloji serta bukti bahawa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri Johor dan Negeri Sembilan meluluskan kelulusan pembinaan sekolah dengan kadar yang cepat seperti yang beliau katakan,”Ng berkata. Ng juga berjanji bahawa akan memastikan kelulusan dari pihak MPKj akan dikeluarkan dalam masa tiga hari bekerja sekiranya pemohon mengemukakan semua dokumen dan pelan yang masih tertunggak dan beliau sendiri akan menghantar kelulusan tersebut kepada Lee. “MCA sengaja tidak mengemukakan dokumen dan pelan kerana memahami bahawa sekolah itu tidak akan bermula walaupun ia mendapat semua kelulusan kerana Kementerian Pendidikan tidak dapat mengagihkan kakitangan dan guru yang secukupnya berikutan kegagalan menyelesaikan masalah kesuntukan guru yang telah lama berlarutan sejak zaman MCA memegang portfolio tersebut lagi, ”tegas Ng. Beliau menjelaskan bahawa dengan tidak menerima kelulusan dari MPKj, MCA boleh terus menunjuk jari kepada Pakatan Rakyat dan terus menipu penyokong mereka dengan menyalahkan MPKj bahkan mereka sendiri yang tidak melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.