Skip to content

DAP memuji pelantikan bersejarah ADUN Subang Jaya Hannah Yeoh sebagai Speaker wanita pertama dalam sejarah Malaysia

DAP memuji pelantikan bersejarah ADUN Subang Jaya Hannah Yeoh sebagai Speaker wanita pertama dalam sejarah Malaysia. DAP mengucapkan tahniah atas pelantikan beliau sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor bersama-sama tiga lagi Exco daripada DAP, Sdr. Teng Chang Khim, Sdr. Ean Yong Hian Wah dan Sdr. V. Ganapathi Rao.

DAP telah menempa sejarah dengan mencipta pelantikan yang membuka jalan baru yang memecahkan ‘siling kaca’ untuk kaum wanita dan masyarakat India. DAP telah melantik Speaker India pertama dalam Sejarah Malaysia iaitu Sdr. V. Sivakumar bagi Dewan Undangan Negeri Perak, serta Timbalan Ketua Menteri India pertama di Malaysia melalui lantikan Prof. Dr. P. Ramasamy sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pelantikan Hannah sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor adalah khabar gembira buat pergerakan memberdayakan wanita dan kesaksamaan gender di Malaysia. Pencapaian bersejarah beliau bagi pihak DAP berjaya mengubat kekecewaan yang dirasakan oleh DAP dalam pengumuman barisan Exco oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini, meski pun memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum yang lalu. Walaupun kecewa, DAP akan terus bergerak maju dan berharap supaya Tan Sri Khalid Ibrahim akan menepati komitmen beliau kepada DAP untuk memberikan lebih banyak ruang untuk memainkan peranan pada masa akan datang.