DAP menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe, yang menuduh DAP terlibat dengan taktik kotor memburukkan calon Barisan Nasional, Datuk Mah Siew Keong.
Tan mendakwa DAP telah menyebarkan risalah yang menuduh Mah selaku calon BN bagi PRK Teluk Intan sebagai seorang lelaki yang tidak senonoh terhadap wanita.
Tuduhan Tan adalah tidak munasabah kerana DAP tidak pernah terlibat dengan taktik kotor seperti itu. Malah golongan pro-BN yang melakukan perbuatan keji itu dengan memanipulasikan wajah calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan tubuh berbikini selebriti Filipina.
Malah dalam sidang akhbar, Tan apabila ditanya apa buktinya DAP melakukan perbuatan itu, Ketua Wanita Gerakan itu hanya menjawab, siapa lagi yang akan memburukkan calon BN.
Tanpa sebarang bukti Tan telah membuat tuduhan palsu terhadap DAP. Sedangkan kumpulan penyokong pro-BN dan UMNO sudah terbukti terlibat dengan taktik kotor dengan menyebarkan risalah fitnah.
Malah semua orang tahu ancaman dan ugutan penyokong-penyokong UMNO terhadap calon DAP serta para pemimpin serta ahli DAP.
Sikap kepimpinan BN termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membiarkan sahaja penyokong BN bertindak liar serta merosakkan keharmonian antara kaum dan agama, amat dikesali.
DAP sekali lagi mengulangi pendirian kami bahawa DAP menolak politik kotor. Malah DAP akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemimpin atau ahli parti yang terlibat dalam politik kotor.
DAP tidak akan melindungi atau menggalakkan mana-mana ahli parti yang didapati bersalah dalam apa-apa bentuk salah laku.
Sehubungan itu DAP menolak tuduhan tidak berasas daripada Tan dan mendesak beliau supaya mengemukakan bukti dan bukan turut bermain taktik kotor dengan membuat tuduhan yabg tak berasas terhadap DAP.