Seluruh masyarakat antarabangsa dilanda kejutan sambil menerima keputusan mahkamah Mesir pada hari Isnin untuk menghukum wartawan Al-Jazeera Peter Greste beserta dua lagi rakan medianya, Mohamed Fahmy dan Baher Mohamed supaya dipenjara antara tempoh tujuh ke sepuluh tahun.
Peter, seorang warga Australia; Mohamad, seorang bekas wartawan CNN; dan Baher, seorang penerbit tempatan, bersama-sama dua wartawan British dan seorang wartawan Belanda yang diadili tanpa kehadiran, disabitkan kesalahan membantu pengganas dan mengancam keselamatan negara, hanya kerana mereka melaporkan keributan yang melanda Mesir baru-baru ini.
‘Jenayah’ yang mereka lakukan hanyalah melaporkan apa yang mereka saksikan; manakala pihak berkuasa bukan sahaja mempunyai hak menjawab tetapi juga hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap wartawan-wartawan tersebut sekiranya wujud fitnah dan laporan palsu. Apabila mereka enggan menggunakan hak untuk menjawab dan mengambil tindakan saman fitnah, pihak berkuasa Mesir menyerahkan sebarang hak untuk bertindak balas. Memenjarakan wartawan yang melaksanakan tugas menunjukkan bahawa Mesir bukanlah sebuah negara yang normal mahupun demokratik yang menghormati hak asasi dan maruah manusia.
DAP mengecam keras penghakiman yang begitu lapuk ini, yang boleh dilihat sebagai usaha untuk membungkam media serta hak untuk menyuarakan pendapat. Sebuah kerajaan yang demokratik dan jujur seharusnya tidak berasa takut untuk membenarkan perbezaan pendapat. Namun apabila mereka yang mempunyai pendapat berbeza dibungkam, tirani lah yang menang.
Oleh yang demikian DAP menyeru kerajaan Mesir yang diketuai Presiden barunya Abdel Fattah al-Sisi untuk menghormati hak asasi manusia seperti kebebasan media dan kebebasan memberi pendapat, serta untuk segera masuk campur dan membebaskan Peter Greste serta dua lagi wartawan atas nama keadilan, kebebasan dan hak asasi manusia.