Skip to content

DAP mengecam pengenaan hukuman berat dan peruntukan kuasa yang terlalu luas berkenaan “berita palsu” yang berkaitan dengan COVID-19 atau proklamasi darurat di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Penting)(No. 2) 2021 berkuat kuasa 11 Mac

DAP mengecam pengenaan hukuman berat dan peruntukan kuasa yang terlalu luas berkenaan “berita palsu” yang berkaitan dengan COVID-19 atau proklamasi darurat di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) (No. 2) 2021 berkuat kuasa 11 Mac. Memberi kuasa yang besar sebegini kepada kerajaan bermakna kerajaan akan memutuskan apa itu berita palsu dan siapa yang boleh didakwa atas kesalahan dengan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Pengembangan definisi luas berita palsu yang merisaukan ini, melanggar hak perlembagaan terhadap kebebasan bersuara serta kebebasan akhbar dan harus dibahaskan dan diluluskan di Parlimen. Sayangnya, Parlimen masih digantung walaupun Yang di-Pertuan Agong sudah bertitah bahawa Proklamasi Darurat tidak menghalang mesyuarat Parlimen daripada bersidang.

Secara hakikatnya, Proklamasi Darurat tidak menghalang Parlimen untuk menjalankan fungsi parlimennya, kuasa perundangan dan semak imbang kerajaan. Tidak ada alasan munasabah mengapa hanya Parlimen tidak boleh dibuka, ketika semua pertubuhan perniagaan dan sekolah di Malaysia sudah dibuka. Perdana Menteri dengan tegas menolak untuk mendengarkan suara yang jelas dan tegas dari majoriti anggota parlimen, baik dari pembangkang mahupun parti pemerintah, bahawa Parlimen perlu segera bersidang kembali.

Selanjutnya, bagaimana undang-undang berita palsu yang baru ini mendorong pemberi maklumat untuk mendedahkan penyelewengan dan kesalahan, termasuk perkara-perkara yang berkaitan dengan langkah-langkah COVID-19 dan Proklamasi Darurat yang menggantung Parlimen? Nampak seperti ada pertentangan yang jelas dan begitu jauh berbeza dengan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang bertujuan untuk memerangi rasuah dan kesalahan lain dengan mendorong dan memudahkan pendedahan tingkah laku yang tidak wajar di sektor awam dan swasta, dan untuk melindungi pihak yang membuat pendedahan tersebut dari tindakan yang memudaratkan mereka.

Undang-undang berita palsu ini juga akan menyekat kebebasan hak asasi, terutama membungkam hak demokratik untuk tidak bersetuju dengan kerajaan. Sebagai contoh, jika Perdana Menteri tidak berpuas hati dengan kononnya tuduhan palsu terhadapnya, beliau boleh mengajukan tuntutan saman fitnah, yang telah pernah dilakukannya. Atau Perdana Menteri masih boleh bertindak terhadap tuduhan jahat di bawah undang-undang yang sedia ada yang lebih dari mencukupi hukumannya dari segi denda atau bahkan penjara seperti Kanun Keseksaan atau Akta Komunikasi dan Multimedia. Tidak perlu menakutkan rakyat dengan ordinan undang-undang berita palsu yang baharu.

Tafsiran yang terlalu luas seperti ini akan terdedah kepada salah guna seperti yang ditunjukkan oleh amalan dua darjat dalam melaksanakan sekatan PKP atau SOP COVID-19 antara Menteri dan rakyat biasa. Undang-undang berita palsu baru ini boleh membahayakan portal berita atas talian yang bebas dan berkecuali, yang menawarkan pandangan alternatif kepada media arus perdana kerajaan.

Mungkinkah undang-undang berita palsu baharu ini adalah seperti Akta Anti-Berita Palsu yang diluluskan oleh kerajaan BN sebelum pilihan raya umum pada tahun 2018, dan yang kemudiannya dimansuhkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan. Saya telah meminta Majlis Presiden PH bermesyuarat secepat mungkin untuk membincangkan perkembangan merisaukan ini yang terus menerus mencabul ruang demokrasi yang semakin merosot di Malaysia.