Merujuk kepada protes bantah-GST pada 1 Mei 2015, saya selaku Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP mengumumkan bahawa setiap Jawatankuasa Negeri dan Cawangan DAP komited menggerakkan seramai mungkin anggotanya turun berhimpun membantah GST secara aman dan menentukan tema protes ini sebagai “1 Mei Hancur GST”.
Pelbagai kesan buruk telah menimpa ekonomi dan masyarakat Malaysia sejak pelaksanaan GST hampir satu bulan. Harga-harga barang naik mengakibatkan rakyat semakin susah dan menderita.
Lebih-lebih lagi adanya ahli politik Barisan Nasional kemukakan kenyataan yang penuh angkuh dan tidak bertanggungjawab setelah pelaksanaan GST di mana Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan telahpun dikritik apabila menyarankan pelajar-pelajar universiti agar selalu mengamalkan masak sendiri dari makan di luar bagi mengurangkan beban GST.
Selain itu, pelbagai panduan harga dan senarai GST dari kerajaan telah mengelirukan para peniaga dan konsumer. Jadi pada hakikatnya, GST ini dilaksanakan dalam keadaan belum sedia.
Malah kita nampak Ahli Parlimen UMNO (Sepanggar) Jumat Idris turut merungut GST membebankan kos rawatan anaknya di laman facebooknya selepas anaknya menerima rawatan di salah sebuah pusat perubatan swasta.
Ahli Parlimen UMNO-BN yang kaya-raya ini pun rasa terbeban dengan GST, apatah lagi dengan rakyat biasa? Padahal pelaksanaan GST akan mengurangkan sikap pembelanjaan dalam pasaran seterusnya menjejaskan bisnes peniaga kecil.
Sesungguhnya, setiap resit pembelanjaan yang diterima memperingatkan kita bahawa iklan promosi GST yang dibuat oleh pihak kerajaan mengatakan GST ini adalah baik untuk rakyat dan harga barangan akan menurun sebelum ini bagaikan “indah khabar dari rupa”. Perdana Menteri Najib Razak harus menjawab sekarang bagaimana GST membantu ekonomi?
Rakyat perlu bangkit membantah GST yang memiskinkan rakyat ini. Sempena Hari Pekerja 1 Mei, marilah kita sama-sama tunjukkan kuasa rakyat dalam membantah GST, kembalikan pembangunan ekonomi negara di jalan yang betul dan kembalikan kehidupan yang bermutu kepada rakyat.
Laman rasmi Kita Lawan: https://www.facebook.com/KitaLawanOfficial