Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri telah menambah justifikasinya yang begitu mengejutkan terhadap kegagalan Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa presiden Perkasa Ibrahim Ali di bawah Akta Hasutan berikutan ugutannya untuk membakar salinan-salinan Bible (Dalam Bahasa Malaysia dan Iban) yang menggunakan kalimah ‘Allah’, sebagai hanya untuk mempertahankan Islam dengan kesilapan yang lebih besar dalam penjelasan terbarunya. Dengan menerangkan bahawa dengan tidak mendakwa Ibrahim Ali kerana mengugut untuk membakar Bible versi Bahasa Malaysia dan Iban sebagai bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan, Nancy telah memperlihatkan dirinya sebagai sekurang-kurangnya seorang peguam yang tidak memahami undang-undang, atau lebih teruk lagi seorang penyokong Perkasa dalam diam dan klon kepada Ibrahim Ali.
Sebagai mangsa Akta Hasutan yang telah dipenjara selama 18 bulan di Penjara Kajang pada tahun 1998, alasan ‘mempertahankan Islam’ tidak wujud dalam undang-undang hasutan dan langsung tidak boleh diterima. Adakah Nancy sedang berpura-pura atau beliau sememangnya jahil undang-undang sehinggakan tidak tahu bahawa niat pembuat kenyataan berbaur hasutan mahupun kebenaran kenyataan itu adalah tidak relevan dalam kes hasutan; serta melakukan sesuatu, bercakap atau menyiarkan kenyataan berbaur hasutan adalah satu kesalahan?
Inilah double standard dalam keengganan BN dan Peguam Negara untuk bertindak terhadap Ibrahim Ali yang menampakkan bagaimana undang-undang hasutan disalahguna sebagai senjata pemusnah untuk menindas mereka yang melawan BN, manakala bagi yang pro-BN ia digunakan sebagai pelindung daripada sebarang pendakwaan. Undang-undang hasutan digunakan sesuka hati terhadap pembuat undang-undang dari kalangan pembangkang, termasuk ADUN Pulau Pinang RSN Rayer kerana menyerang Umno di dalam sidang DUN walaupun menikmati kekebalan sementara apabila pemimpin Umno melakukan serangan sedemikian terhadap Pakatan Rakyat, mereka bebas tidak dihukum. Malah ahli akademik yang tidak berkait politik seperti pensyarah undang-undang UM Profesor Azmi Sharom pun didakwa kerana memberi pandangan undang-undang secara akademik.
DAP ingin melihat Nancy mempertahankan ‘hak’ untuk mengugut mahu membakar Bible yang menggunakan kalimah Allah di hadapan penganut Kristian di Sarawak, negerinya; bahawa keputusan Jabatan Peguam Negara untuk tidak mendakwa Ibrahim adalah kerana konteks ucapannya adalah selari dengan semangat Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 11(4) merujuk kepada hak kebebasan beragama serta halangan menyebarkan agama lain kepada mereka yang beragama Islam.
Malah Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Tan Sri Dr James Masing telah mengatakan bahawa ini meletakkan ekstremis Islam melampaui undang-undang serta ‘membolehkan membakar Bible, menghina penganut agama lain serta melakukan perbuatan terkutuk demi mempertahankan kesucian Islam’. Tindakan BN dan Nancy mempertahankan Ibrahim adalah sangat berbahaya, kerana ia akan membolehkan kumpulan-kumpulan ekstremis lain membuat kenyataan dan tindakan provokatif dan kemudian memberikan alasan yang sama untuk bebas daripada sebarang pendakwaan.
Jika beginilah caranya kepercayaan agama dan hak warga bukan Islam dilayan, lebih baik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bubarkan sahaja Gerakan Moderatnya. DAP menuntut supaya BN segera berpatah balik daripada perubahan dasar yang sangat bahaya ini dengan segera mendakwa Ibrahim Ali bagi mengelakkan daripada terjerumus ke zaman gelap hilangnya toleransi terhadap orang bukan Islam di Malaysia yang akan membawa keburukan kepada perpaduan nasional, menjejaskan integrasi nasional, merosakkan hubungan kaum dan menggugat keharmonian agama.
DAP menghargai sokongan kumpulan-kumpulan Muslim yang turut sama terkejut dengan dasar berbahaya BN dan menentang justifikasi bahaya Nancy Shukri dengan mengingatkan bahawa Al-Quran dan Islam tidak menyuruh membakar kitab suci agama bukan Islam. Adakah BN dan Nancy berani untuk bertemu dan menjelaskan keputusan dasar baru BN ini bersama penganut Kristian dan kumpulan agama lain yang begitu bingung, resah dan gelisah dengan perkembangan yang begitu berbahaya ini?