Skip to content

DAP mengutuk sekeras-kerasnya keputusan Kerajaan BN untuk memotong peruntukan untuk biasiswa JPA

Keputusan kerajaan untuk memotong peruntukan untuk biasiswa dan bursari JPA seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak pada pagi tadi amatlah dikesali dan merupakan satu keputusan yang tidak mementingkan masa depan modal insan negara kita.

Pengumuman oleh Perdana Menteri bahawa 744 bursari hanya akan ditawarkan kepada pelajar-pelajar cemerlang pra-universiti (lepasan STPM atau A-Levels) untuk program ijazah sarjana muda di universiti-universiti tempatan sahaja amat mendukacitakan kumpulan pelajar ini kerana kebanyakan mereka telah mendapat tawaran di universiti-universiti terkemuka di luar negara. Keputusan kerajaan ini akan memaksa pelajar-pelajar cemerlang tersebut menolak tawaran tersebut dan kehilangan peluang untuk menimba ilmu di luar negara.

Kesan daripada keputusan ini ialah ia memaksa pelajar-pelajar cemerlang ini untuk mencari alternatif lain termasuk memohon biasiswa daripada sumber lain termasuk di negara lain dan akhirnya negara akan kehilangan modal insan yang terbaik dan memburukkan lagi masalah “brain drain”.

Bukan sahaja bursari untuk 744 pelajar ini dihadkan kepada program di dalam negara, malah Program Biasiswa Nasional untuk pelajar-pelajar SPM terbaik untuk belajar di mana-mana universiti terbaik dipotong daripada 50 orang kepada hanya 20 orang! Maka, sekurang-kurangnya 30 pelajar terbaik SPM 2015 terpaksa “dikorbankan”!

Bukan itu sahaja, malah untuk Program Ijazah Pertama Dalam Negara, lebih 2,000 pelajar akan “dikorbankan” kerana peruntukan untuk program ini telah dikurangkan daripada 10,050 pelajar kepada 8,000 pelajar sahaja!

Kerajaan Barisan Nasional di bawah pentadbiran Najib adalah sebuah kerajaan yang “cakap tak serupa bikin”. Di manakah pelaksanaan kata-kata “Rakyat Didahulukan”? Pemimpin tertinggi negara langsung tidak berprihatin kepada masalah rakyat dan masa depan anak-anak muda kita.

Kami ingin mengingatkan Najib bahawa 99% rakyat Malaysia tidak mampu untuk mendapat hidangan “daging lembu wagyu” yang mencecah RM20,000 untuk satu hidangan! Ramai anak-anak muda daripada golongan keluarga yang berpendapatan rendah mahupun kelas menengah, memerlukan biasiswa kerajaan untuk menampung penggajian tinggi mereka untuk meningkatkan sosial mobiliti kelurga mereka.

Justeru itu, DAP mengutuk sekeras-kerasnya keputusan Kerajaan Barisan Nasional untuk memotong peruntukan untuk biasiswa JPA dan menggesa Perdana Menteri untuk mengkaji semula keputusan tersebut supaya semua pelajar yang mendapat tawaran daripada universiti luar negara dan telah mendapat kelulusan JPA sebelum ini boleh meneruskan penggajian mereka.