Skip to content

DAP menjunjung perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan

Kami menyambut baik kenyataan Setiausaha Agung DAP, Saudara Anthony Loke Siew Fook pada Persidangan Parti DAP 2023 semalam bahawa DAP akan sentiasa berpandukan pada Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan ini mengulangi sekali lagi pendirian parti bahawa DAP sentiasa menjunjung, menghormati dan mempertahankan perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini ditekankan lagi melalui resolusi yang telah diluluskan oleh para pewakilan pada Persidangan Parti yang mengukukuhkan komitmen parti seperti yang dinyatakan di dalam Deklarasi Shah Alam lebih sedekad lalu iaitu untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan termasuk Islam sebagai Agama Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Orang Asal Sabah dan Sarawak, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan serta hak dan kepentingan sah kaum dan masyarakat lain dalam Malaysia.

Parti DAP bukanlah parti satu kaum sahaja. DAP adalah parti untuk semua kaum, bangsa, ras dan keturunan dalam Malaysia, termasuk orang Melayu. Perjuangan DAP adalah demi Malaysia untuk rakyat Malaysia.

Orang Melayu dalam DAP, seperti kaum dan bangsa lain, memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada parti untuk menabur bakti pada rakyat. Ahli DAP berbangsa Melayu mempunyai kedudukan di setiap lapisan parti; baik sebagai ahli biasa, AJK cawangan, Ahli Majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen mahupun Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).

Jelas bahawa perjuangan kami adalah selari dengan Perlembagaan Persekutuan, dan mengikut lunas undang-undang. Buktinya, DAP secara konsisten melibatkan diri dalam proses demokrasi dan pilihan raya negara.

Dengan ini, kami menyeru supaya jangan ada lagi pihak, sama ada kawan atau lawan, yang mempersoalkan asas perjuangan dan pendirian parti DAP selepas ini mengenai perkara-perkara asas dalam Perlembagaan.