Skip to content

DAP menyokong cuti bergaji untuk ibu bapa (parental leave) selama 3 hari setahun untuk menjaga anak sakit yang berusia bawah 12 tahun

Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dalam mesyuaratnya malam tadi telah membuat keputusan bersejarah bagi menerima pakai cuti untuk ibu bapa seperti yang dicadangkan oleh Wanita DAP . Ketua Wanita DAP yang juga Ahli EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Chong Eng telah membuat cadangan itu atas dasar bahawa ramai ibu bapa muda yang bekerja terutama mereka yang tidak mempunyai sokongan keluarga di bandar-bandar sedang bergelut antara pekerjaan berbayar dan menjaga anak-anak dan keluarga.

Dalam masyarakat patriarki yang berdasarkan model peranan gender tradisional dalam tanggungjawab keluarga, bapa akan menguruskan kelangsungan hidup keluarga manakala ibu pula akan menguruskan anak-anak dan rumah tangga. Beban menjaga anak yang sakit selalunya akan jatuh kepada ibu. Dunia keibuan dan tugas menjaga anak adalah sebab utama ramai wanita tercicir daripada landasan kerjaya menjadikan mereka menerima gaji rendah dan berdepan diskriminasi dalam kenaikan pangkat.

Ini juga menjelaskan mengapa walaupun ramai graduan wanita berbanding graduan lelaki dihasilkan universiti pada setiap tahun sepanjang dua dekad yang lalu, kadar penyertaan pekerja wanita dalam tenaga kerja masih rendah iaitu pada kadar 54% di Malaysia, antara yang terendah di Asia Tenggara. Harapan Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju dengan ekonomi berpendapatan tinggi akan menjadi sia-sia jika kita tidak boleh mencapai lebih daripada 60% dalam penyertaan tenaga kerja. Semua negara-negara maju mempunyai kadar penyertaan tenaga kerja wanita lebih daripada 60%.

Cuti bergaji selama 3 hari akan diberikan kepada kedua-dua ibu bapa untuk anak-anak yang berusia bawah 12 tahun. Ini adalah untuk menekankan kepentingan sama rata di antara kedua-dua ibu bapa dalam menjaga dan membesarkan anak-anak mereka. Dan juga, cuti bergaji selama 3 hari setahun untuk ibu bapa ini akan mengalakkan ibu-ibu untuk bekerja atau kekal bekerja selepas berkahwin.

Lebih banyak boleh dilakukan untuk ibu bapa yang bekerja dalam mengimbangi antara kerjaya dan komitmen keluarga. Namun untuk Hari Buruh 2017, DAP akan memulakan langkah dengan 3 hari cuti tahunan bergaji untuk ibu bapa yang mempunyai anak di bawah umur 12 tahun.