DAP mengambil maklum keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tetap Timbangtara (Permanent Court of Arbitration, PCA) pada 12 Julai 2016, berkait pertikaian antara Filipina dan China mengenai Laut China Selatan. Kami mempertegas komitmen bahawa sebarang pertikaian dalam hal Laut China Selatan harus diselesaikan secara aman antara negara-negara terlibat melalui saluran diplomatik yang melibatkan rujukan terhadap undang-undang antarabangsa seperti United Nations Convention on the Law of the Seas (UNCLOS) yang ditandatangani oleh China dan empat negara penuntut (Filipina, Vietnam, Brunei dan Malaysia).
Kami juga mengambil maklum tentang nota-nota ajuan Malaysia kepada PCA yang memohon pihak tribunal untuk ‘mengambil kira hak-hak Malaysia’ dalam keputusannya. DAP telah dan akan terus komited menjulang kedaulatan dan hak sempadan negara termasuk zon 200 batu nautika yang menjadi Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ). Kami meminta Wisma Putra untuk memberi penjelasan kepada orang awam tentang kesan keputusan PCA terhadap Malaysia serta langkah-langkah yang akan diambil untuk mempertahankan integriti dan keselamatan EEZ Malaysia yang terletak di dalam lingkungan Laut China Selatan.
Kami menyokong usaha berterusan Wisma Putra untuk menggesa pelaksanaan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan antara China dengan negara-negara ASEAN yang akan memastikan satu rangka kerja dapat dibuat bagi menyelesaikan pertikaian itu secara aman dan meredakan ketegangan di Laut China Selatan.