Skip to content

DAP menzahirkan rasa terkejut dengan peletakan jawatan mengejut Syed Zaid Syed Jaffar Albar sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti serta penggantian serta-merta beliau dengan ahli politik UMNO Awang Adek Hussin

Maklum balas segera berkenaan peletakan jawatan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Syed Zaid Syed Jaffar Albar dan penggantian serta-merta dengan ahli politik UMNO Awang Adek Hussin.

“DAP menzahirkan rasa terkejut dengan peletakan jawatan mengejut Syed Zaid Syed Jaffar Albar sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti hanya enam bulan selepas beliau dilantik semula ke penggal kedua sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti pada 1 November 2021 serta penggantian serta-merta beliau dengan ahli politik UMNO Awang Adek Hussin.

Peletakan jawatan Syed Zaid dilaporkan dikaitkan dengan pertembungan dengan keputusan kontroversi Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan jenayah terhadap syarikat perkhidmatan minyak dan gas bermasalah Serba Dinamik Holdings Bhd dan empat eksekutif kanan, yang didakwa memfailkan penyata kewangan palsu kepada Bursa Malaysia.

Kedua-dua Perdana Menteri dan Peguam Negara perlu memberi penjelasan penuh mengenai peletakan jawatan mengejut Syed Zaid dan penggantian segeranya dengan seorang ahli UMNO. Kerajaan mesti bertindak pantas untuk memastikan keyakinan pelabur bahawa pasaran modal Malaysia dijalankan bukan untuk kepentingan peribadi tetapi secara profesional, bebas, cekap dengan mematuhi sepenuhnya ketelusan dan menghormati kedaulatan undang-undang bebas daripada sebarang campur tangan politik.”