DAP negeri Perak menjunjung kasih ke hadapan DYMM Paduka Seri Sultan Perak atas perkenan melantik Menteri Besar Perak. Semoga dengan kebijaksanaan dan kepimpinan Tuanku akan terus memastikan urusan pentadbiran negeri berjalan lancar ke arah Negeri Perak yang makmur dan sejahtera.
DAP PERAK ingin menyatakan kerajaan bernama “Perikatan Nasional” yang terdiri dari gabungan UMNO, PAS, Bersatu dan ADUN yang melompat parti tidak pernah sekali memperolehi mandat dari rakyat dan oleh itu tidak direstui oleh pengundi negeri Perak.
DAP Perak ingin melahirkan perasaaan kekecewaan dan mengecam tindakan beberapa orang ADUN Pakatan Harapan yang melompat parti dan mengkhianati mandat rakyat Negeri Perak.
Justeru, selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen, DAP Perak menggesa penubuhan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak yang akan dibentuk haruslah bersih daripada anggota yang mengkhianati mandat rakyat serta individu-individu yang telah dan SEDANG didakwa di mahkamah.
Demi kewibawaan kerajaan dibawah naungan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, hanya mereka yang mempunyai rekod bersih boleh dipertimbangkan untuk perlantikan jawatan exco dan bukan sebaliknya.