Skip to content

DAP Sabah gesa Ketua Menteri Sabah Musa Aman umum serap GST, bela golongan miskin dan tambah peluang pekerjaan

Seperti yang kita maklum, Sabah terus mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang lembab. Ia tidak lain akibat tadbir urus yang buruk kerajaan UMNO-BN Sabah. Dengan tadbir urus yang buruk, usaha kerajaan mengumumkan pelbagai rancangan pembangunan akan gagal malah rakyat pula akan terus terbeban lebih-lebih lagi dengan implementasi GST.

Bagi menampung beban kos kehidupan rakyat Sabah akibat GST, saya ingin mencadangkan supaya kerajaan Sabah menyerap beban cukai GSTmengikuti jejak langkah kerajaan-kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Sarawak, Terengganu dan Johor.

Saya menggesa Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman dengan segera mengumumkan penyerapan GST oleh kerajaan Sabah. Sebarang kelewatan mengumumkan penyerapan GST ini hanya akan mencerminkan beliau tidak jujur meringankan beban rakyat Sabah.

Bagi pandangan saya, jika kerajaan Sabah benar-benar prihatin, mereka perlu berbuat demikian memandangkan peruntukan belanjawan Sabah adalah antara yang tertinggi di Malaysia misalnya bagi tahun 2015, Sabah menerima peruntukan belanjawan sebanyak RM4.07 bilion.

Selama ini, rakyat Sabah terpaksa menanggung kenaikan kos yang banyak misalnya tariff air dan elektrik begitu juga dengan barang keperluan dan makanan yang mahal. Kerajaan BN Sabah hanya dilihat ‘membuat keuntungan’ yang besar sedangkan sebahagian rakyat terus dibebani dengan kos kehidupan dan kemudahan asas yang tidak sempurna.

Saya percaya Sabah mampu menampung kos penyerapan GST kerana mempunyai sumber yang banyak dan mencukupi seperti hasil petroleum, balak, minyak sawit dan sebgainya. Malah, jika kita perhatikan, negeri yang memiliki sumber asli yang besar seperti Sarawak dan Terengganu turut berinisiatif menyerap GST.

Apa yang membanggakan, Pulau Pinang sebagai negeri yang tidak memiliki hasil bumi dan sering dianak tiri oleh kerajaan persekutuan terutamanya melibatkan peruntukan pembangunan juga menyerap cukai ini demi mengurangkan beban kepada rakyat.

Selain itu, disebabkan pertumbuhan ekonomi yang lembab, tidak hairan jika semakin ramai golongan muda seperti di Tawau, Sandakan dan Kudat berhijrah ke bandar-bandar utama di Malaysia seperti Kota Kinabalu, Kuala Lumpur, Georgetown, Jobor Bahru termasuk ke Singapura untuk mendapatkan pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik. Tawau, Sandakan dan Kudat tidak lama lagi akan menjadi “Rumah orang-orang tua”.

Apapun, antara sebab berlaku fenomena penghijrahan ini disebabkan oleh kekurangan peluang pekerjaan mahupun pendidikan yang baik di Sabah akibat pertumbuhan ekonomi yang lembab di bawah kerajaan UMNO-BN Sabah. Ia menyebabkan berlakunya “brain-drain” yang merugikan Sabah sendiri.

Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan BN tidak boleh hanya dengan sesuka hati menganggap Sabah sebagai fix-deposit mereka. Meskipun Sabah memberikan kemenangan kepada BN dalam pilihanraya lalu, ia bukan satu lesen untuk terus membuli rakyat Sabah.

Sabah yang masih banyak ketinggalan dari segi pembangunan dan peluang perlu melipat gandakan usaha untuk memastikan kebajikan dan pembangunannya setaraf dengan negeri-negeri Semenanjung. Janganlah sekadar berbangga dengan pemberian peruntukan belanjawan yang tinggi selagimana ia tidak mampu membangunkan ekonomi rakyat.