Skip to content

DAP seru kerajaan beri lebih peruntukan pembangunan RMK-11 kepada Sabah, atasi kelembapan ekonomi dan kemiskinan

Rancangan Malaysia ke-11 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat tidak realisti kepada situasi sebenar di Sabah dan sekadar susunan perkataan-perkataan indah yang menggambarkan masa depan Malaysia yang baik.

Merujuk kepada prestasi ekonomi Sabah ia jelas tidak selaras dan tidak seragam dengan keadaan seluruh negara. Dalam hal ini, perkara yang boleh menyokong kenyataan saya mengatakan RMK11 tidak realistic bagi Sabah adalah kadar pertumbuhan ekonomi Sabah sendiri.

Jika kita kepada pencapaian RMK-10, pertumbuhan purata KDNK benar Malaysia ialah 5.3 peratus manakala pertumbuhan di Sabah hanya 3.0 peratus; Pendapatan per kapita Nasional pada tahun 2013 adalah RM32,900 ringgit manakala pendapatan per kapita di Sabah hanya RM18,603, ia adalah sangat tidak memuaskan.

Sabah masih merupakan negeri yang miskin dan mengalami pertumbuhan ekonomi bagi GDP terendah iaitu 3 peratus setahun setaraf dengan Perlis. Purata pertumbuhan ekonomi negara pula setinggi 5 hingga 6 peratus setiap tahun.

RMK-11 kali ini telah menetapkan sasaran bahawa Pendapatan bulanan purata isi rumah akan meningkat ke RM10,540 pada tahun 2020. Pada hemat saya, ia tidak relevan kerana wujud perbezaan gandaan hampir satu kali ganda. Ia hampir mustahil tercapai.

Jika kita mengambil serius terhadap stastistik tersebut, pendapatan purata isi rumah B40 (di bawah 40 peratus) adalah RM2,537 pada tahun 2015 manakala penengah pendapatan adalah RM4,585 ertinya 40 peratus golongan miskin itu hanya mendapat RM2,537, jauh lebih rendah dari penengah pendapatan. Ia menunjukkan ketidakseimbangan dan ketidaksamarataan antara golongan miskin dan kaya adalah serius. Laporan Bank Dunia telah melaporkan bahawa Malaysia adalah Negara yang mempunyai masalah ketidakseimbangan pendapatan yang sangat serius dan ketara di Asia.

Di Sabah walau pun purata pendapatan isi rumah ialah RM4,013, tetapi median ataupun penengah pendapatan isi rumah di Sabah ialah RM2,860. Ini bermaksud sebahagian dari warga Sabah ber pendapatan di bawah RM2,860 manakala pendapatan golongan B40 seluruh negara adalah RM2,537. Ketidak seimbangan ini bukanlah petunjuk ekonomi yang sihat. Ini kerana pendapatan golongan kaya berpendapatan tinggi turut diambil kira dan dipuratakan bersama dengan golongan miskin di Sabah. Pada pengetahuan saya, pendapatan warga Sabah di kebanyakan kawasan pendalaman adalah jauh lebih rendah dari RM1000 dan di bawah garis kemiskinan.

Keduanya , RMK-11 amat tdak realistik dan boleh dipersoalkan jika kita melihat realiti sebenar pembangunan infrastruktur dan keperluan asas di Sabah terutamanya di kawasan pedalaman. Masih ramai masyarakat di pedalaman hidup dalam keadaan dhaif dan serba kekurangan.

Sebagai contoh, ada penduduk kampung di kawasan Pitas dilaporkan terpaksa menggunakan kerbau untuk mengusung pesakit menggunakan papan berbentuk pengusung kerana tidak mempunyai akses kepada jalan. Di Matunggung pula, ada penduduk terpaksa menggunakan air keruh dari sungai kerana tidak mampu membayar kos penyambungan bekalan air. Begitu juga di beberapa kampung seperti di kawasan Kota Marudu dan Tenom yang tidak mempunyai sumber bekalan yang asas seperti bekalan air yang terawat, bekalan elektrik, tiada jalanraya dan tiada perkhidmatan kesihatan asas.

Sasaran kerajaan bagi RMK-10 untuk membina infrastruktur asas luar bandar bagi Sabah seperti liputan bekalan air akan dipertingkatkan sehingga 98 peratus manakala liputan bekalan elektrik akan dipertingkatkan sehingga 99 peratus. Tetapi setakat tahun 2014, ia hanya mencapai 94.1 peratus liputan bekalan elektrik dan 80.6 peratus liputan bekalan air di Sabah.

Walaupun Ketua Menteri Sabah mengatakan Sabah mendapat peruntukan sebanyak RM24.8 billion dari RM230 billion keseluruhan dalam RMK-10, ia hanya sekitar kurang 10.7 peratus sahaja. Saya berpendapat peruntukan kepada Sabah harus dinaikkan supaya pembangunan di Sabah selaras dengan Semenanjung Malaysia.

Salah satu contoh kegagalan mempercepatkan pembangunan di Sabah ialah sistem jaringan jalanraya. Projek MRT Fasa 1 dari Sungai Buluh ke Kajang melibatkan kos RM23 billion, manakala pembinaan Pan Borneo Highway dijangka menelan kos RM27 bilion. Jumlah kos tidak jauh berbeza namun sehingga sekarang projek lebuhraya Pan-Borneo masih belum siap walhal projek pembinaan MRT RM23 bilion boleh disiapkan dalam 10 tahun sahaja. Menurut perkiraan kami dalam belanjawan yang lalu, kerajaan hanya menyediakan RM500 juta untuk projek ini setiap tahun danjauh berbeza dengan tempoh masa projek MRT.

Saya ingin mengajukan pertanyaan, berapakah peruntukan yang akan diperolehi Sabah dari RM260 bilion pembelanjaan pembangunan yang disediakan? Adakah dengan kekal pada 10 peratus yang mencukupi? Saya berpendapat bahawa sekurang-kurangnya 30 peratus pembelanjaan pembangunan harus disediakan untuk membangunkan Sabah sedangkan Sabah merupakan rakan kongsi dalam persekutuan Malaysia supaya pembangunan Sabah boleh dipercepatkan selaras dengan Semenanjung Malaysia dan mencapai wawasan 2020 sebagai negeri yang maju.