Rakyat semakin hari semakin terbeban di bawah pentadbiran rejim Perikatan Nasional (PN) yang tidak mempedulikan nasib rakyat sehingga Menteri Kabinet PN boleh mengatakan kenaikan harga minyak masak adalah sesuatu yang munasabah padahal rakyat kini jelasnya dipengaruhi oleh kenaikan mendadak harga barang keperluan seperti harga minyak masak ketika perlu duduk dalam rumah tanpa sebarang pendapatan semasa tempoh “Total Lockdown” ini.
Walaupun kurangnya peruntukan yang adil dan setara, namun YB Nga Kor Ming tetap berusaha bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat yang memerlukan. Beliau telah membelanjakan wang gajinya sendiri bagi menyediakan Beg Harapan yang berisi barangan keperluan harian bagi disalurkan kepada keluarga-keluarga di Kampung Ayer Hitam yang terpaksa menjalani kuarantin akibat Covid-19, keluarga-keluarga yang terputus bekalan makanan dan mereka yang terputus punca pendapatan.
Rejim PN membuat sikap tak endah biarpun rakyat baru sahaja dibebani dengan kenaikan harga beras sejak bulan Mac yang lalu, kini rakyat terus ditekan dengan kenaikan harga minyak masak sehingga mencecah RM33.35 bagi sebotol bersaiz 5kg.
Adalah sesuatu yang sangat tidak munasabah apabila rakyat terhimpit sebegini ada menteri pula yang menyokong kenaikan harga minyak masak. Di manakah langkah dan perancangan demi memastikan nasib rakyat golongan terbawah dan pertengahan yang sedang menderita akibat pandemik Covid-19 ini terbela daripada kenaikan harga barang bagi pelbagai keperluan harian yang penting ini?
Ketika pelbagai harga barang keperluan terus naik dan naik, wakil rakyat tidak dapat menyampaikan keresahan dan meminta penjelasan menteri-menteri yang berkaitan di dalam parlimen kerana sehingga hari ini institusi Parlimen terus digantung.
Sebagai sebuah kerajaan, PN wajar mengawal kenaikan harga barang untuk membantu rakyat, dan bukannya sibuk menguji kereta baharu ataupun berwayang melakukan pemeriksaan di kilang sambil membenarkan pengoperasiannya.