Kesungguhan gabungan kepimpinan ekstrimis perkauman dan agama PAS-UMNO yang menebal, bersekali dengan apologis mereka daripada kalangan MCA dan MIC telah mencapai tahap yang berbahaya, dengan isu terkini berkenaan Zakir Naik. Ketika PAS dan UMNO mengapi-apikan kebencian perkauman dan keagamaan dalam kalangan orang Melayu dan Muslim, dan apologis mereka, iaitu MCA dan MIC, pula melakukan perkara yang sama dalam kalangan orang bukan Melayu dan bukan Muslim, mereka berharap dapat mewujudkan kacau-bilau yang besar agar dapat menamatkan riwayat PH.
Suatu contoh yang baik ialah apabila mantan Perdana Menteri, yang juga Penasihat Kebangsaan BN Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa bahawa DAP hari ini merupakan ‘kingmaker’ dalam PH, di mana menteri-menteri DAP (yang merupakan non-Melayu, dan non-Muslim) yang dilantik menyebabkan peningkatan dalam ketegangan dalam kalangan orang Melayu. Penipuan sebegini daripada Najib serta merta didedahkan apabila DAP tidak berjaya meyakinkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menutup kilang memproses nadir bumi Lynas, tetapi akan terus berusaha untuk meyakinkan Perdana Menteri untuk memahami keresahan tulen yang dinyatakan oleh pejuang alam sekitar. Namun pada masa yang sama, Najib membidas dirinya sendiri apabila meminta DAP yang konon-kononnya ‘kingmaker’ untuk meletakkan jawatan kerana gagal untuk menutup kilang memproses nadir bumi Lynas?
Jelas bahawa, baik pihak pembangkang mahupun akhbar yang mereka kawal, tidak akan mengetengahkan kejayaan kerajaan PH yang menggalakkan dalam mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.9% untuk suku kedua 2019, berbanding 4.5% untuk suku pertama. Malaysia satu-satunya negara ASEAN yang telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dalam suku kedua berbanding suku pertama 2019.
Stereotaip ektrimis perkauman dan keagamaan itu sebagaimana lazim daripada pihak pembangkang, di mana mereka akan mendendangkan lagu yang berlainan apabila menghadapi golongan bukan Melayu dan bukan Islam. MCA atau MIC yang cuba menakutkan-takutkan tentang ekstremis kaum dan agama yang membahayakan golongan bukan Melayu dan bukan Islam, sedang bekerjasama secara erat dengan UMNO dan PAS yang mahu mengambil hak-hak orang bukan Melayu dan bukan Islam. Apakah PAS, UMNO, MCA, dan MIC percaya rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, dan latar belakang, begitu mudah diperdaya sehingga akan termakan kebencian etnik dan agama yang sedemikian, untuk mengalihkan tumpuan daripada korupsi pembangkang, mahupun ketidakcekapan pengurusan ekonomi mereka sehingga mereka tidak mampu membayar gaji penjawat-penjawat awam?
Mimpi dan khayalan PAS, UMNO, MCA dan MIC untuk mengambil kembali Kerajaan Persekutuan, dengan memainkan kebencian kaum dan agama, tidak akan berjaya di ketika kerajaan PH komited untuk mengamalkan pendekatan yang rasional dan moderat terhadap pembinaan negara, dan dalam mengurus isu-isu panas. Tambahan lagi, kerajaan PH komited untuk mendengar daripada rakyat termasuk pandangan-pandangan berbeza, walaupun keputusan yang dibuat adalah untuk mencari alternatif lain yang lebih baik. Ini sebahagian daripada demokrasi dan pimpinan DAP akan terus memainkan peranan aktif ke arah proses membuat keputusan yang lebih baik yang akan menambahbaik demokrasi, kesihatan dan keselamatan awam, serta taraf hidup rakyat.