Skip to content

DAP tidak pernah menyalahguna isu 3R kerana DAP mahu menyatukan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama

Seorang pemimpin PAS telah menyeru kerajaan untuk mengambil tindakan tegas terhadap DAP kerana kononnya menyalahguna isu 3R (agama, kaum, dan raja) sebelum pilihan raya negeri yang akan datang.

Inilah contoh penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian yang disebarkan oleh PAS di bawah pimpinan Presiden Hadi Awang sebelum pilihan raya negeri di enam negeri, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu berlangsung tidak lama lagi.

Malah, dari mula lagi, sejak pilihan raya umum pertama yang ditandingi DAP pada tahun 1969, DAP telah meletakkan calon yang mewakili semua kaum dan agama.

Dua orang calon Melayu Islam telah diundi menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri, dah seorang dari mereka, Ibrahim Singgeh, yang telah menang di kerusi DUN Tapah Road dengan 3,319 undi berbanding dengan 2,986 undi yang diperolehi oleh calon Perikatan dan 753 undi yang diperoleh calon PAS, telah diumumkan sebagai calon Menteri Besar Perak DAP untuk pilihan raya umum 1974.

Pada tahun 1999, Lim Guan Eng telah mengorbankan kerusi parlimen Kota Melaka dan ke penjara untuk mempertahankan maruah seorang gadis Melayu bawah umur.

Adakah mana-mana pemimpin PAS yang telah membuat pengorbanan untuk mana-mana gadis Melayu bawah umur sebegini, apatah lagi untuk mana-mana wanita Malaysia dari kaum atau agama lain?

Pemimpin PAS yang telah membuat tuduhan tidak berasas mengatakan kononnya DAP menggunakan isu yang menyentuh 3R mahu mengalihkan kritikan sah terhadap pemimpin PAS yang secara tidak bertanggungjawab telah menyebarkan penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian dalam kempen untuk enam pilihan raya negeri yang akan datang, dan dia sendiri telah menjadi contoh perbuatan sebegini.

Memang sudah menjadi fakta yang diketahui umum dan disahkan yang Presiden PAS, Hadi Awang, telah membuat pelbagai tuduhan yang tidak berasas dan bersifat jahat terhadap DAP dan juga saya secara peribadi, kononnya saya ini anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, komunis, dan mempromosikan Islamofobia – tetapi apabila dicabar berkali-kali untuk membuktikan tuduhan-tuduhan tidak masuk akal ini, dia gagal untuk berbuat demikian.

Hadi telah melancarkan serangan buruk terhadap saya semasa Hari Raya Aidilfitri, tetapi saya tidak ada kata-kata buruk terhadapnya dan saya mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf zahir dan batin!” kepada Hadi dan PAS.

Seorang pengguna media sosial telah mendoakan kematian Hadi tetapi saya telah menasihati pengguna media sosial ini untuk menarik semula kenyataan ini dan meminta maaf, dan saya doakan Hadi yang kini berada di hospital untuk segera sembuh.

Cara terbaik untuk mengelakkan salah guna isu 3R adalah dengan menjadi komited sebagai rakyat Malaysia yang ingin berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, umur, atau jantina.

Kerana inilah kita ada bersama kita malam ini, Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, dan mantan Exco dan ADUN Tanjong Bungah, Zairil Khir Johari, untuk menunjukkan yang DAP mewakili suara semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, jantina, atau umur.

Dalam mendekati enam pilihan raya negeri yang akan datang, akan ada kuasa politik tidak bertanggungjawab yang akan cuba melaga-lagakan satu kaum dengan kaum yang lain dan satu agama dengan agama yang lain.

Kita tidak boleh termakan perangkap mereka, kerana sebenarnya tidak ada perasaan kebencian atau ketegangan antara kaum atau agama di Malaysia.

Saya mahu melihat Malaysia menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia, beranikah PAS untuk menyokong cita-cita ini?