Sambutan Hari Ibu tahun ini diselubungi bayangan wabak Covid-19 di seluruh dunia. Sejak bermulanya penularan wabak ini pada 27 Februari yang lalu, Perintah Kawalan Pergerakan telah memberikan kesan kepada pasaran buruh negara. Majikan di seluruh negara yang terjejas dengan perintah ini telah melaksanakan langkah-langkah pengurangan upah gaji dan pemberhentian para pekerja untuk mengurangkan kesan akibat wabak tersebut.
Menurut Jabatan Pengangkaan Malaysia, sejumlah 61,500 pekerja telah kehilangan punca pendapatan mereka dalam bulan Mac, yang merupakan kadar pengangguran negara tertinggi dalam tempoh 10 tahun dan dalam pada masa yang sama, dianggarkan bahawa lebih ramai para pekerja akan kehilangan pekerjaan mereka dalam bulan-bulan yang mendatang. Para ibu yang bekerja dan ibu sepenuh masa yang bekerja daripada rumah juga tidak terkecuali dengan risiko pengangguran ini. Dengan keadaan semasa ini, kerajaan Persekutuan perlu merangka satu dasar untuk memastikan golongan ini dapat mengekalkan punca pendapatan mereka dan terus menyara keluarga mereka bersesuaian dengan “norma baharu” pasca Covid-19 dan mencari keseimbangan di antara keluarga dan kerjaya.
Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, terdapat juga peningkatan beberapa kali ganda jumlah kes keganasan rumah tangga. Oleh itu, kerajaan Persekutuan terutamanya melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat perlu memainkan peranan yang amat penting untuk membantu mangsa-mangsa keganasan rumah tangga untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. Kerana keganasan rumah tangga itu bukanlah satu kebiasaan, ia adalah jenayah!
“Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncangkan dunia”. Walaupun para ibu bersifat lemah-lembut, mereka juga menyumbangkan tenaga dalam membangunkan negara kita.
Pada bulan Mac 2020, seorang bekas ketua jururawat yang sudahpun bersara, Biby Maideen yang berusia 68 tahun, telah kembali berkhidmat dan mencurahkan baktinya untuk membantu usaha melawan wabak Covid-19 di hospital. Bagi beliau, pengorbanan tidaklah terhad kepada sumbangan berbentuk wang ringgit dan harta benda sahaja, tetapi juga dalam bentuk masa serta tenaga, dan pengorbanan inilah yang beliau sumbangkan.
Setiap seorang ibu adalah Biby Maideen kita. Menjadi seorang ibu adalah satu pekerjaan tanpa henti, 24 jam sehari, yang juga berhadapan dengan pelbagai tekanan dan cabaran. Sumbangan seorang ibu tidak kurang jika dibandingkan dengan seorang ayah atau suami dari segi sumbangan kepada masyarakat, kerjaya mahupun keluarga.
DAP Wanita Kebangsaan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ibu terutamanya mereka yang kini sedang berjuang di barisan hadapan. Terima kasih atas sumbangan anda kepada keluarga, masyarakat dan negara!