1. DAPSY Kebangsaan menuntut semua pihak berkuasa peringkat persekutuan untuk menjalankan siasatan semula yang menyeluruh terhadap kes kematian Zara Qairina Mahathir.
2. Pada masa yang sama, DAPSY menuntut agar kebenaran didedahkan kepada rakyat dalam kadar serta-merta demi menuntut keadilan untuk mangsa dan menjamin hak rakyat untuk mengetahui kebenaran.
3. Meskipun Jabatan Peguam Negara telah mengarahkan prosedur bedah siasat (post-mortem) dilakukan, kepercayaan rakyat terhadap pihak berkuasa peringkat negeri semakin terhakis. Oleh itu, pihak berkuasa peringkat persekutuan perlu mengambil alih siasatan kes ini demi menjamin ketelusan, keadilan dan integriti tanpa sebarang kompromi.
4. DAPSY menegaskan bahawa rakyat mempunyai hak untuk mengetahui kebenaran di sebalik tragedi ini. Punca kontroversi ini adalah disebabkan wujudnya keraguan umum tentang kemungkinan pihak tertentu berkomplot untuk melindungi sesetengah pihak dan juga penjenayah yang mengakibatkan kemalangan ini.
5. Tragedi ini menimbulkan pelbagai persoalan sehingga dibandingkan dengan plot drama Korea Selatan yang bertajuk “The Glory” yang memaparkan insiden anak pegawai tinggi membuli rakyat biasa dan terlepas daripada hukuman. Adalah satu penghinaan terhadap sistem keadilan jenayah dan kewibawaan institusi sekiranya terdapatnya unsur penyalahgunaan kuasa dalam kes ini.
6. Berpaksikan prinsip kedaulatan undang-undang, mana-mana pembuli atau penjenayah, tidak kira identiti atau status sosial, mesti dihukum sekiranya didapati bersalah.
7. DAPSY juga merujuk kepada prinsip asas kedaulatan undang-undang antarabangsa dan ungkapan yang berbunyi “Justice must not only be done, but must also be seen to be done.” Oleh itu, pihak berkuasa wajib memastikan siasatan dijalankan dengan telus dan menyeluruh, dengan memberi jaminan bahawa keluarga mangsa dan masyarakat dapat memantau perkembangan dan kebenaran siasatan tersebut.
8. DAPSY menegaskan bahawa kepercayaan rakyat terhadap sistem penguatkuasaan dan kehakiman hanya dapat dipulihkan dengan syarat kebenaran dalam kes ini terserlah.
9. Kerajaan Madani sentiasa berkomited untuk memperkasakan dan melindungi generasi muda, maka negara kita tidak boleh membiarkan satu nyawa muda terkorban begitu sahaja tanpa keadilan yang sewajarnya. DAPSY menuntut siasatan menyeluruh terhadap semua pihak yang terlibat demi memastikan institusi pendidikan kembali selamat, adil dan bebas dari budaya buli.