Skip to content

DAPSY Gesa Akmal Saleh Letak Jawatan Segera dan Sertai PAS

1. Daripada berbicara panjang, DAPSY Kebangsaan menggesa Akmal Saleh untuk menunjukkan teladan dengan meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka dan menjadi perintis untuk menyertai PAS.

2. Kerjasama antara parti politik berdasarkan kesepakatan adalah perkara biasa dalam politik. Konsensus dalam kalangan pelbagai parti kerajaan perpaduan adalah untuk mentadbir bersama sehingga tamatnya penggal ini. Sesebuah kerajaan yang stabil adalah diperlukan dalam keadaan pasca pandemik dan ketidaktentuan ekonomi.

3. Akmal Saleh patut menerangkan apakah keperluan sebenar masyarakat Melayu daripada sibuk melaungkan slogan “perpaduan Melayu”. Hakikatnya, masyarakat berbilang kaum tidak memerlukan retorik kosong, lakonan politik berlebihan, atau politik perpecahan berdasarkan kaum, tetapi sebaliknya memerlukan dasar kerajaan yang berkesan untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

4. Kerajaan pintu belakang pimpinan Muhyiddin Yassin juga pernah melaungkan slogan perpaduan Melayu, namun pentadbirannya terbukti gagal sehingga rakyat terpaksa mengangkat bendera putih. Kestabilan politik hanya dicapai selepas bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Pakatan Harapan serta melaksanakan Akta Anti-Lompat Parti.

5. Mungkin Akmal Saleh selaku Ketua Pemuda Terpaling Perikatan Nasional (PN) melupai bahawa UMNO sendiri pernah menjadi mangsa apabila PAS dan Bersatu muncul sebagai pesaing terbesar dan merampas kebanyakan kerusi daripada UMNO. Yang lawaknya adalah bahawa PN yang paling lantang melaungkan perpaduan Melayu kini juga dilihat semakin berpecah-belah.

6. Malangnya, parti-parti tersebut yang sibuk berpecah dan gagal mentadbir negeri sendiri dengan baik disarankan sebagai rakan strategik oleh seorang Ketua Pemuda yang bergelar doktor.

7. Hubungan rapat antara Akmal Saleh dengan PAS sebenarnya bukan rahsia, malah Akmal Saleh tidak pernah berasa malu dengan dakwaan bahawa dia bertindak seperti ejen PN. Yang peliknya para pemimpin utama dalam partinya tidak pernah menyokong atau mengesahkan pendiriannya.

8. Semua yang celik politik akan sedar bahawa slogan Akmal Saleh adalah sekadar lakonan politik dan tidak akan mendapat sambutan, namun Akmal bolehlah menjadi teladan dengan meletakkan jawatan terlebih dahulu. Sekiranya tidak, inilah seumpama cakap tidak serupa bikin.

9. Yang hairannya, Akmal Saleh sendiri tidak berani untuk melepaskan kuasa dan jawatan tetapi asyik mendesak pemimpin parti sendiri untuk keluar daripada kerajaan.

10. Apabila Akmal Saleh mengatakan bahawa dia ingin bersama dengan PAS untuk mempertahankan hak orang Melayu, adakah dia sedang menuduh bahawa seluruh kerajaan, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri dan Menteri Besar daripada UMNO gagal mempertahankan kepentingan Melayu? Jawapannya adalah terang lagi bersuluh.

11. Oleh itu, tuduhan Akmal Saleh yang tidak berasas ini adalah cukup teruk sekali dan maka pimpinan UMNO wajib tampil untuk menyangkal tuduhan tersebut.

12. Keluarlah daripada kerajaan negeri Melaka dahulu sekiranya berani, bukannya melaungkan slogan setiap hari dan meraih simpati. Be a man.