Skip to content

DAPSY Gesa Reformasi Pendidikan: Pelajar STPM dengan PNGK 4.0 Harus Diberi Universiti & Kursus Pilihan Pertama Secara Automatik

1. DAPSY menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melaksanakan reformasi pendidikan yang segera, iaitu memastikan semua pelajar STPM yang memperoleh pencapaian akademik paling cemerlang iaitu PNGK 4.0, diberikan tawaran automatik ke universiti awam dan program pilihan pertama mereka.

2. Pada jangka masa panjang, KPT perlu menyelaraskan dan menyatukan sistem pra-universiti, terutamanya antara STPM dan Matrikulasi, demi membina sistem pengajian tinggi yang lebih adil, telus, serta berasaskan merit dan keperluan.

3. Dalam sidang khas di Parlimen baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, menjelaskan bahawa saluran terus (direct intake) ke universiti awam merupakan kuota tambahan tanpa menjejaskan kuota rasmi kemasukan melalui UPU.

4. Walaupun pengambilan terus tidak menjejaskan kuota rasmi UPU, ketidakseimbangan sistemik dalam proses pengambilan universiti awam merupakan satu masalah yang telah wujud sekian lama. Pelajar berasal dari keluarga yang berkemampuan mempunyai opsyen untuk memilih saluran “direct intake”, namun pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah tetap bergantung sepenuhnya kepada UPU untuk penempatan ke universiti Awam.

5. DAPSY menyeru KPT agar menzahirkan iltizam politik dengan melaksanakan reformasi pendidikan tinggi yang sebenar, termasuk memperbetulkan ketidakseimbangan saluran-saluran kemasukan universiti yang bercelaru dan berdasarkan piawaian yang berbeza.

6. Untuk itu, DAPSY menggesa agar langkah reformasi yang segera wajar diambil, iaitu menjamin semua pelajar STPM yang memperoleh keputusan PNGK 4.0 diberikan penempatan secara automatik berdasarkan universiti dan kursus pilihan pertama mereka. Dalam jangka panjang, sistem kemasukan universiti perlu disatukan, agar ketidakseimbangan dan ketidakadilan sistem akibat daripada kewujudan pelbagai saluran kemasukan dapat diatasi dengan sempurna demi kepentingan generasi muda.

7. Meskipun Sijil STPM mendapat pengiktirafan antarabangsa oleh lebih daripada 2,000 universiti di seluruh dunia, realitinya ramai pelajar cemerlang STPM masih berdepan dengan ketidakpastian untuk diterima masuk ke universiti dan kursus pilihan mereka disebabkan oleh ketidakseimbangan sistem pra-universiti. Situasi sebegini akan melemahkan semangat dan keyakinan pelajar dan ibu bapa terhadap sistem STPM sekiranya dibiarkan berlarutan.

8. Untuk mengiktiraf kedudukan dan nilai sijil STPM, KPT perlu mengambil tindakan reformasi konkrit dengan memastikan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang iaitu PNGK 4.0 diberikan tempat automatik dalam universiti serta program pilihan pertama mereka. Ini bukan sahaja merupakan langkah awal reformasi pendidikan tinggi yang memberikan pengiktirafan sewajarnya terhadap usaha gigih pelajar, tetapi juga strategi penting untuk membina dan mengekalkan bakat berkemahiran tinggi bagi memenuhi aspirasi Pembangunan negara.

9. Berdasarkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, kerajaan akan terus memperkukuhkan pendidikan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kemahiran digital AI, dan salah satu aspirasi adalah menghasilkan lebih ramai graduan dalam bidang STEM.

10. Berdasarkan data terkini yang dikemukakan oleh KPM dalam sidang Parlimen, seramai 2,565 pelajar STPM memilih aliran sains pada tahun 2024. Daripada jumlah itu, hanya 69 orang pelajar yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan PNGK 4.0. Jumlah pelajar cemerlang yang kecil ini merupakan testimoni kepada kejayaan dan keunggulan akademik mereka.

11. Oleh itu, DAPSY sekali lagi menyeru agar KPT memastikan para pelajar STPM aliran sains yang paling cemerlang ini dijamin untuk memasuki universiti serta mengikuti kursus pilihan pertama mereka. Nescayanya langkah reformasi ini akan menjadi satu bentuk pengiktirafan yang cukup jelas dan bermakna kepada semua pelajar STPM cemerlang, serta menunjukkan komitmen KPT untuk membina sistem pendidikan tinggi yang adil dan telus.

12. DAPSY juga menyeru agar KPT memulakan pelan reformasi pendidikan tinggi jangka Panjang, iaitu menyatukan semua saluran kemasukan universiti yang kini mempunyai piawaian yang berbeza, terutamanya STPM dan Matrikulasi, supaya mewujudkan satu sistem kemasukan universiti yang telus, bersepadu, serta berlandaskan prinsip meritokrasi dan keperluan (need-based).

13. Hanya dengan mewujudkan sistem kemasukan universiti yang lebih adil dan saksama, Malaysia dapat meningkatkan mutu pendidikan tinggi serta melahirkan lebih ramai graduan berdaya saing demi melonjakkan paradigma pembangunan negara di persada dunia.